SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 19 April 2001

Bilik darjah elektronik pertama dilancar

BILIK darjah elektronik yang pertama di negara ini yang dilengkapi dengan Internet dilancarkan Khamis lepas di Sekolah Menengah Bukit Damansara di Kuala Lumpur dalam usaha Kementerian Pendidikan menyokong inisiatif sekolah bistari kerajaan.

Bilik darjah elektronik itu adalah hasil kerja sama Kementerian Pendidikan dan Intel Malaysia, sebuah syarikat pengeluar cip komputer peribadi dan perkakasan rangkaian komunikasi terbesar dunia.

Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dipilih bagi projek bernilai RM100,000 itu berdasarkan kemudahan dan kelengkapan yang tersedia di sekolah itu, kata Ketua Pengarah Pendidikan Abdul Rafie Mahat kepada pemberita selepas pelancaran itu.

Intel Malaysia telah menyumbangkan 30 komputer peribadi (PC), sebuah stesen komputer guru, sebuah sistem komputer pelayan, perisian dan akses Internet.

Beliau juga berkata, sebanyak 2,400 buah makmal komputer telah dibina untuk sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha membawa kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Rafie berkata kewujudan bilik darjah elektronik ini sejajar dengan era digital dan pembaharuan yang diketengahkan.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara Rashedah Md. Yassin berkata, kesemua guru di sekolah itu telahpun mendapat latihan daripada Intel.

Semua guru dan murid boleh menggunakan bilik darjah itu mengikut jadual yang telah ditetapkan, kata beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi