SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 19 April 2001

Undang-undang babitkan IT dikaji semula

SEBERANG PERAK 20 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula undang-undang berhubung keselamatan negara terutamanya yang membabitkan teknologi maklumat (IT) bagi memastikan undang-undang itu sesuai dengan keadaan semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kajian itu melibatkan beberapa undang-undang lama dan baru yang didapati tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Katanya, antara yang sedang dikaji oleh pihaknya ialah berhubung beberapa peruntukan yang berkaitan dengan undang-undang lama seperti denda yang dikenakan (terhadap pesalah) mengikut nilai mata wang zaman dahulu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, selain undang-undang lama, kerajaan juga akan mengkaji undang-undang baru seperti Akta Percetakan berikutan perkembangan baru dalam bidang IT dengan penggunaan Internet sebagai saluran penyebaran berita zaman sekarang.

``Kerja-kerja (penyemakan semula undang-undang) ini telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai KDN dan kerajaan sedia menerima pandangan daripada pihak-pihak lain mengenai akta mana yang perlu dipinda.

``Akta mana yang akan dikaji, saya serahkan kepada pegawai-pegawai KDN kerana apa yang perlu dikaji melibatkan banyak akta yang ada hubung kait dengan keselamatan negara,'' katanya kepada pemberita selepas berucap pada Program Mesra Rakyat di Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi