SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 21 April 2001

Tingkap keselamatan jeriji besi perlu dipasang

KUALA LUMPUR 20 April - Kebanyakan pengusaha jeriji besi menasihatkan pelanggan mengenai perlunya tingkap keselamatan pada jeriji besi yang dipasang pada rumah mereka.

Tingkap keselamatan ini akan berfungsi sebagai laluan keluar kepada penghuni apabila berlaku kebakaran.

Seorang pengusaha kerja-kerja besi dan aluminium, Shafiee Yunus berkata, pihaknya selalu mencadangkan kepada pelanggan supaya memasang tingkap keselamatan pada jeriji besi yang dipasang di tingkat atas bagi rumah dua tingkat.

``Pelanggan kami biasanya setuju dengan model dan cadangan kami untuk mengadakan tingkap keselamatan pada jeriji besi rumah mereka,'' katanya.

Tingkap keselamatan ini menurut beliau, bertujuan melepaskan diri semasa kebakaran dan pelanggan tidak perlu khuatir tentang keselamatan tingkap berkenaan daripada dimasuki pencuri.

``Tetapi apa yang menyedihkan ialah soal kunci tingkap keselamatan itu tidak diambil peduli. Sepatutnya kunci berkenaan hendaklah diletakkan di tempat yang boleh dicapai semasa kebakaran dan selamat dari dikait oleh orang luar,'' katanya ketika ditemui di Jalan Bandar Dalam, di sini hari ini.

Bagi beliau, setiap rumah sepatutnya mempunyai dua tingkap keselamatan yang boleh dipasang pada jeriji besi.

Spesifikasi tingkap keselamatan ini pula perlulah mempunyai ukuran sekurang-sekurangnya 24 cm lebar dan 48 cm tinggi yang membolehkan orang yang bersaiz besar melalui tingkap berkenaan.

Menurut beliau lagi, tingkap keselamatan ini hendaklah ditarik ke dalam supaya apabila berlaku kebakaran, ia tidak mengganggu pihak bomba yang menjalankan tugas.

Mengenai garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba, katanya, beliau sentiasa mengikut kehendak bomba dalam membuat jeriji besi.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha jeriji besi yang ditemui berkata, pihaknya selalu mengingatkan pelanggan supaya memeriksa kunci tingkap keselamatan pada jeriji besi di rumah mereka.

Bagi Chan Yak Soon, tidak ada guna jika tingkap keselamatan dibuat tetapi kunci pada tingkap berkenaan tidak boleh berfungsi atau hilang.

``Selalu pelanggan tidak mengambil tahu mengenai kunci tingkap berkenaan sebab ia tidak selalu dibuka,'' katanya.

``Bagi ibu bapa, mungkin mereka tahu kunci tingkap berkenaan berada di mana tetapi bagaimana dengan anak-anak mereka?'' katanya.

Menurut Chan, hanya satu tingkap keselamatan yang perlu dibuat pada jeriji besi di tingkat atas rumah dua tingkat.

``Di bawah tidak perlu sebab sudah ada pintu depan dan belakang,'' katanya.

Seorang lagi pembuat jeriji besi, Ramli Mohd. Zin berkata, pembinaan tingkap keselamatan pada jeriji besi ada diajar di kebanyakan kursus kimpalan besi.

Sebagai contoh katanya, Institut Kemahiran Belia Negara ada menunjuk ajar bagaimana hendak membuat tingkap keselamatan berkenaan.

``Ini termasuk keperluan yang diminta oleh pihak berkuasa tempatan yang memperuntukan sekurang-kurangnya satu tingkap keselamatan pada jeriji besi yang dibina,'' katanya.

Oleh: MOHD. HAZLI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi