Make your own free website on Tripod.com

SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 22 April 2001

Tenaga daripada matahari

Oleh NORUL RIDZUAN ZAKARIA
MATAHARI adalah sebuah bintang sepertimana berjuta-juta bintang lain yang dapat dilihat berkerlipan di angkasa pada setiap malam. Walau bagaimanapun oleh kerana matahari begitu penting dan diperlukan oleh manusia, maka pada kebanyakan masa bintang ini dianggap sebagai sebuah bintang yang amat istimewa dan luar biasa.

Matahari paling penting kepada kehidupan harian manusia sebagai sumber tenaga. Matahari adalah sumber tenaga primer, yang membawa maksud semua tenaga yang dihasilkan secara semulajadi ataupun secara proses teknologi adalah bersumberkan matahari. Tenaga yang dihasilkan oleh matahari adalah tenaga daripada tindak balas nuklear dan sampai ke bumi dalam bentuk cahaya.

Kajian tenaga matahari ataupun kajian tenaga suria (solar energy studies) adalah suatu bidang sains dan teknologi angkasa yang amat sesuai diberi perhatian oleh Malaysia kerana Malaysia terletak di kawasan khatulistiwa iaitu kawasan muka bumi yang paling hampir dengan matahari dan menerima paling banyak cahaya matahari. Kajian tenaga matahari mungkin merupakan suatu aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Buat masa ini, perjalanan tenaga suria secara terus tidak digunakan sebagai sumber tenaga utama kerana kadar penghasilan tenaganya adalah rendah dan tidak ekonomik. Negara-negara khatulistiwa yang maju di segi pengurusan ekonomi dan teknologi seperti Malaysia patut aktif dalam usaha menyelidik dan membangunkan janakuasa tenaga suria yang tinggi tahap penghasilan tenaganya.

Janakuasa tenaga suria yang efisien sekiranya dapat dihasilkan akan dapat membekalkan tenaga untuk pasaran tempatan dan juga untuk dieksport ke negara-negara jiran. Di samping itu, sistem penjanaan tenaga suria mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan sistem penjanaan tenaga lain seperti hidroelektrik, nuklear dan arang batu.

Janakuasa tenaga suria boleh dibina di kawasan-kawasan yang hampir dengan pengguna, tidak seperti janakuasa tenaga hidroelektrik yang perlu dibina di sungai-sungai yang mempunyai aliran yang deras dan mencukupi. Janakuasa tenaga suria juga tidak mempunyai kesan pencemaran alam sekitar seperti janakuasa nuklear dan arang batu.

Suatu sifat tenaga suria yang tidak mungkin boleh ditandingi oleh mana-mana sumber tenaga lain termasuk petroleum dan arang batu adalah sifat kekasihnya. Tenaga suria akan terus wujud dan kekal selagi matahari terus wujud dan memancarkan cahayanya, sedangkan bekalan sumber tenaga lain seperti petroleum dan arang batu adalah terhad dan akan habis pada suatu ketika kelak.

Pemprosesan tenaga suria tidak semestinya menggunakan janakuasa yang besar yang menelan perbelanjaan yang banyak untuk pembinaan dan operasinya. Tenaga suria juga boleh diproses kepada tenaga elektrik menggunakan sistem sel suria dengan berkesan.

Suatu sektor industri yang patut meneroka sistem pemprosesan tenaga suria kecil adalah industri automotif. Industri automotif di negara-negara maju telahpun mengeluarkan kenderaan-kenderaan prototaip yang menggunakan sistem hibrid (hybrid) ataupun sistem 2 enjin, iaitu satu enjin konvensional dan satu enjin elektrik. Enjin konvensional digunakan untuk perjalanan jarak jauh yang memerlukan kelajuan, dan enjin elektrik digunakan di kawasan bandar yang memerlukan penjimatan tenaga.

Tenaga elektrik kenderaan hibrid dibekalkan oleh bateri yang dicaj oleh pergerakan kereta itu sendiri ketika ia menggunakan enjin konvensional. Di negara khatulistiwa seperti Malaysia, enjin elektrik ini boleh dicaj menggunakan sistem sel suria. Ini bermakna, sekiranya digunakan di Malaysia, kenderaan hibrid boleh dicaj ketika ia berhenti ataupun tidak digunakan, terutamanya ketika ia diletakkan di bawah kepanasan cahaya matahari.

Secara kebetulan, semua kenderaan buatan Malaysia adalah bersaiz kecil dan ringan. Oleh itu kenderaan ini amat sesuai digerakkan oleh enjin hibrid. Sebagai permulaan, kenderaan-kenderaan ini mungkin sesuai memasang aksesori seperti sistem pendingin kabin dan sistem pendingin enjin yang digerakkan secara automatik oleh sel suria apabila wujudnya cahaya matahari.

Sistem pendingin kabin berkuasa suria amat berguna kepada kereta yang diletakkan pada masa yang lama di bawah kepanasan cahaya matahari. Sistem ini aktif dengan sendirinya apabila sel suria menerima cahaya matahari dan menghidupkan kipas bagi mendinginkan udara di dalam kabin kereta. Dengan ini, apabila kereta berkenaan hendak digunakan, maka kabinnya tidaklah terlalu panas sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Sistem pendingin enjin berkuasa suria pula amat berguna kepada kereta yang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas dalam cuaca yang panas. Sistem ini aktif secara automatik dan merendahkan suhu enjin kereta tersebut. Dengan ini, sistem pendingin enjin dapat melancarkan dan melindungi enjin daripada masalah terlalu panas (overheated).

Suatu lagi faktor industri yang patut meneroka potensi tenaga suria adalah industri perumahan. Rumah-rumah yang dibina di Malaysia sesuai dilengkapkan dengan kemudahan pemprosesan tenaga suria kepada tenaga elektrik. Oleh kerana rumah merupakan struktur kekal (permanent structure), maka ia boleh dibina sedemikian rupa agar dapat mengumpul tenaga matahari untuk diproses bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Malangnya pada hari ini, satu-satunya penggunaan tenaga suria di rumah yang popular adalah memanaskan air untuk kegunaan bilik air, sedangkan kegunaan air panas di bilik air adalah lebih sesuai di negara-negara yang beriklim sejuk, bukan beriklim panas seperti di Malaysia. Pemaju perumahan dan arkitek di Malaysia sepatutnya lebih kreatif menghasilkan dan menggunakan produk yang lebih sesuai seperti kipas angin ataupun pendingin udara yang dijanakan oleh tenaga suria.

Malaysia juga boleh meneroka potensi industri penjanaan tenaga suria di negara-negara Afrika utara dan Arab kerana negara-negara ini adalah negara-negara yang menerima jumlah cahaya matahari yang banyak dan mempunyai suhu permukaan yang amat tinggi sehingga 40 darjah celsius. Negara-negara Afrika utara dan Arab ini juga adalah negara-negara Islam yang memandang tinggi Malaysia sebagai negara Islam yang paling maju di segi pengurusan ekonomi dan teknologi.

Di samping suhu permukaan yang tinggi, kawasan-kawasan tertentu di Afrika utara dan Arab ini juga mempunyai langit yang tidak berawan. Oleh itu, kawasan-kawasan ini menerima cahaya matahari sepanjang masa pada waktu siang. Kawasan-kawasan inilah merupakan lokasi terbaik bagi pembinaan janakuasa tenaga suria secara terus.

Pada ketika ini negara-negara Afrika utara dan Arab memperolehi begitu banyak tenaga dan keuntungan ekonomi daripada petroleum. Mungkin sebahagian kecil daripada pemperolehan ini patut dilaburkan kepada industri penjanaan tenaga suria.

Tidak seperti petroleum yang akan habis pada suatu ketika nanti, tenaga suria tidak akan habis atau berkurangan selagi matahari masih terus wujud dan bersinar.

Kini telah wujud beberapa, kumpulan saintis dan jurutera di negara-negara maju yang menyelidik dan berusaha membangunkan sistem penjanaan tenaga suria di angkasa. Sistem ini akan menggunakan rangkaian satelit yang dilengkapkan dengan kemudahan mengumpul cahaya matahari. Satelit-satelit ini diletakkan di orbit mengelilingi bumi di atas garisan khatulistiwa kerana kawasan ini terletak paling hampir dengan matahari dan menerima paling banyak cahaya matahari.

Cahaya matahari yang dikumpul diproses dan dipancarkan dalam bentuk gelombang mikro kepada stesen-stesen yang terletak di muka bumi. Stesen-stesen ini juga akan dibina di kawasan khatulistiwa kerana lokasi ini merupakan lokasi yang paling hampir dengan satelit-satelit pengumpul cahaya matahari berkenaan. Jarak yang minimum ini amat penting kerana kuasa gelombang mikro akan hilang pada kadar yang tinggi sekiranya ia dipancarkan pada jarak yang jauh.

Stesen-stesen di kawasan khatulistiwa di muka bumi ini akan memproses gelombang mikro kepada tenaga elektrik untuk disalurkan kepada pengguna. Malaysia mungkin merupakan lokasi yang paling baik untuk operasi stesen tenaga suria ini kerana Malaysia bukan sekadar terletak di khatulistiwa, tetapi juga di kawasan yang mempunyai penduduk padat, pembangunan dan industri Asia Tenggara yang berpotensi tinggi sebagai pengguna.

Pihak-pihak tertentu di Malaysia mungkin patut bekerjasama dengan pihak saintis dan jurutera yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan sistem satelit penjana tenaga suria ini. Pihak berkenaan di Malaysia boleh melabur dalam projek ini dengan menyediakan stesen bagi menerima gelombang mikro dari satelit penjana tenaga suria dan menyalurkannya kepada pengguna secara komersial.

Organisasi penyelidikan, institut pengajian tinggi dan industri kejuruteraan dan tenaga di Malaysia patut aktif menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tenaga suria bagi menghasilkan dan memasarkan produk yang bersifat komersial. Produk-produk ini merupakan peralatan-peralatan elektrik berkuasa suria yang boleh digunakan dengan efektif di Malaysia dan negara-negara yang menerima banyak cahaya matahari.

Cahaya matahari yang ditukarkan kepada tenaga elektrik sendiri adalah suatu produk yang bernilai tinggi. Produk tenaga ini bukan sahaja boleh dipasarkan di pasaran tempatan, tetapi juga boleh dieksport ke negara jiran. Boleh dikatakan pada hari ini, cahaya matahari begitu banyak ``dibazirkan'' di Malaysia kerana kebanyakannya dihalang dan tidak ditukarkan kepada tenaga elektrik.

Penjanaan tenaga suria ataupun tenaga daripada matahari adalah salah satu daripada elemen ekonomi angkasa yang paling popular dan praktikal untuk dimajukan. Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang nyata dalam aktiviti ekonomi ini disebabkan faktor geografi dan ekonomi, teknologi dan politik. Tenaga suria sebenarnya merupakan suatu lagi potensi ekonomi angkasa Malaysia yang masih belum dipergunakan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi