SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 27 April 2001

Lapangan terbang rantau ini belum sedia hadapi penumpang

SINGAPURA 26 April - Bilangan penumpang udara dijangka meningkat lebih sekali ganda di Asia menjelang tahun 2014 tetapi banyak lapangan terbang di rantau ini tidak bersedia menghadapi peningkatan itu, kata pakar-pakar industri hari ini.

Bilangan penumpang di Asia-Pasifik dijangka melonjak kepada 870.6 juta orang pada tahun 2014 berbanding 431.6 juta pada tahun 1999, kata kumpulan bertindak pengangkutan udara (ATAG) dalam laporannya.

``Infrastruktur sedia ada tidak bersedia untuk menghadapi paras pertumbuhannya,'' kata pengarah ATAG, Martina Priebe.

``Lapangan terbang memerlukan prosedur penyelesaian segera untuk menangani bilangan penumpang yang meningkat,'' kata Priebe dalam satu sidang akhbar di sini.

Katanya, prosedur imigresen dan kastam masih lagi lembap. Terdapat terlalu banyak kertas kerja.

Beliau berkata, ATAG, sebuah kumpulan industri yang meliputi syarikat penerbangan, pengeluar pesawat terbang dan persatuan profesional yang berkaitan, sedang menemui kerajaan di rantau Asia dan mendesak mereka untuk menyegerakan urusan itu.

``Sesetengah lapangan terbang Asia adalah lebih baik berbanding yang lain dari segi kecekapan dan bangunan serta kemudahan lebih besar,'' kata Priebe sambil menjadikan Lapangan Terbang Singapura di Changi sebagai contoh.

Changi dikenali sebagai pelepasan kastam dan bagasi yang cepat dan menggunakan teknologi tinggi, kini sedang membina terminal ketiga yang baru.

Sementara itu, Lapangan Terbang Narita di Tokyo pula mempunyai landasan baru yang terlalu kecil untuk memenuhi pesawat udara jarak jauh.

Priebe berkata, dengan kewujudan pesawat yang besar dan jarak jauh seperti A3XX buatan Airbus Industrie dan pesawat 777-300 Boeing, dijangka akan meningkatkan lagi persaingan di kalangan lapangan terbang Asia untuk menjadi pusat pemindahan perjalanan serantau.

``Hong Kong mahu menjadi pusat itu, begitu juga Singapura dan Bangkok. Mereka semua saling bersaing,'' kata Pengarah Infrastruktur Asia Pasifik bagi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, Anthony Laven.

Beliau bersetuju dengan Priebe bahawa keupayaan sahaja tidak mencukupi kerana faktor seperti `daftar masuk' (check-in), pelepasan kastam dan perkhidmatan lain juga penting.

``Lapangan terbang akan berjaya sekiranya ia lebih cekap dan mempunyai paras perkhidmatan terbaik bagi penumpang dan pesawat,'' katanya. - AP

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi