SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 21 April 2001

Tidak perlu perlindungan jeriji besi - REHDA


CONTOH tingkap keselamatan pada jeriji besi yang dipasang di sebuah rumah di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 20 April - Pemantauan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) terhadap kebanyakan rumah kediaman menunjukkan ia tidak memerlukan perlindungan tambahan seperti jeriji besi.

Menurut Naib Presiden REHDA, Mohd. Khalid Harun, sebagai contoh, pintu rumah yang ada sudah cukup kukuh dan kuat untuk melindungi penghuninya daripada sebarang pencerobohan dari luar.

``Kalau penghuni merasakan pintu mereka kurang kukuh, mereka boleh berusaha menambah lebih banyak kunci untuk memperkukuhkannya lagi.

``Kunci ini boleh dibuka dengan mudah dari dalam iaitu tidak memerlukan anak kunci,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, penambahan jeriji akan hanya menjadikan rumah seperti penjara yang mengancam nyawa dalam keadaan kecemasan seperti kebakaran.

Menurut Harun lagi, reka bentuk asal rumah dimajukan mengikut piawaian keselamatan yang diluluskan oleh kerajaan, dan pemasangan jeriji kebiasaannya tidak akan mendapat kelulusan daripada kerajaan.

``Jika pemaju menunjukkan pelan untuk membuat jeriji semasa rumah dalam pembinaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan meluluskan permintaan berkenaan,'' katanya.

Harun menambah, kebiasaannya penghuni rumah akan mengambil inisiatif sendiri untuk memasang jeriji di kediaman mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi