SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Malaysia mungkin pelanggan asing pertama Super Hornet

ST. LOUIS 30 April - Malaysia mungkin muncul sebagai negara pertama di luar Amerika Syarikat yang menerbangkan pesawat F/A-18E/F Super Hornet jika ia mengambil keputusan membeli pesawat pejuang terbaru daripada Boeing Company itu.

George Roman, Naib Presiden dan Pengurus Besar Boeing bagi pembangunan perniagaan (pesawat tentera dan sistem peluru berpandu), berkata Malaysia telah membayangkan bahawa ia akan berusaha memperoleh 16 hingga 24 pesawat pejuang di bawah Rancangan Malaysia Kelapan.

Katanya, Boeing telah pun mula berbincang dengan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Super Hornet, yang mempunyai 11 stesen senjata, kini digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

Pesawat pejuang ini merupakan versi yang dinaikkan taraf daripada versi asal F/A-18. Ia digunakan bagi membuat tinjauan, sebagai sokongan udara dan bagi menumpaskan pertahanan musuh.

F/A-18E adalah sebuah pesawat satu tempat duduk manakala F/A-18F mempunyai dua tempat duduk.

Roman, yang menghabiskan masa selama 397 hari dalam tempoh tiga tahun di Malaysia sedikit masa dahulu untuk mendapatkan janji niaga bagi menjual lapan pesawat F/A-18C/D Hornet kepada Malaysia, memuji TUDM kerana menyenggara pesawat pejuang serangan balas dengan baik.

``Mereka adalah pelanggan terbaik kami dan kami berbangga dengan mereka,'' katanya pada satu majlis taklimat di kilang pesawat tentera Boeing di sini, di mana "Jalur Gemilang" berkibar dengan megahnya di antara beberapa bendera dari negara-negara lain yang juga telah menjadi pelanggan Boeing.

Roman berkata, beliau akan berada di Kuala Lumpur tidak lama lagi untuk meneruskan perbincangan dan membantu TUDM menilai Super Hornet selanjutnya.

Tony Parasida, naib presiden program F/A-18 (pesawat tentera dan sistem peluru berpandu) yang ditanya sama ada kerajaan Malaysia akan menukar beli pesawat Hornet bagi Super Hornet, berkata itu bergantung kepada pelanggan.

``Kami amat bertolak ansur dalam perkara ini dan kami akan menerima opsyen ini,'' katanya.

Kata beliau, pesawat Hornet tersebut masih lagi berkeadaan baik kerana TUDM telah melaksanakan program penyenggaraan yang baik.

Juga dirasakan bahawa pesawat Hornet TUDM itu akan mendapat pasaran yang baik disebabkan oleh penyenggaraan yang baik itu.

Bagaimanapun, dipercayai Malaysia mungkin mahu mengekalkan pesawat-pesawat terbang lama serta membeli kapal terbang baru bagi mewujudkan angkatan pesawat pejuang yang lengkap.

Parasida juga berkata pesawat Super Hornet terbaru ini adalah lebih murah daripada pesawat sejenisnya terdahulu disebabkan oleh peningkatan kecekapan pengeluaran di syarikat Boeing dan ini menyebabkan pengurangan pemasangan alat ganti sebanyak 42 peratus pada pesawat F/A-18E/F. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum