SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Perpustakaan siber di luar bandar

MELAKA 3 Mei - Penduduk luar bandar di seluruh negara khususnya mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar berpeluang menikmati kemudahan perpustakaan desa siber dalam usaha kerajaan menambah bilangan celik teknologi maklumat (IT).

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Shahar Banun Jaafar berkata, usaha mewujudkan lebih banyak perpustakaan desa siber bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menimba ilmu menerusi kemudahan IT yang disediakan.

Menurutnya, kemudahan ilmu bercetak dan multimedia IT yang terdapat di perpustakaan desa akan dikembangkan supaya menjadi Pusat Pembudayaan Ilmu IT untuk penduduk desa mendapatkan maklumat terkini.

``Usaha ini selaras dengan dasar kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan desa dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) untuk mendirikan lebih banyak perpustakaan desa di setiap kampung,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian persidangan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam di seluruh negara di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam merasmikan seminar itu yang dihadiri 150 orang ahli lembaga pengarah perpustakaan awam yang terdapat di seluruh negara. Objektif seminar selama dua hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada semua ahli lembaga pengarah perpustakaan awam mengenai peranan dan tanggungjawab mereka bagi memantapkan lagi pembangunan perpustakaan di negara ini.

Menurut Shahar Banun, usaha menambah lagi bilangan perpustakaan siber di setiap daerah dijangka dapat meningkatkan lagi kadar pembaca di negara ini terutama penduduk luar bandar yang sebelum ini kurang pendedahan mengenai perkara itu.

``Hasil kajian perpustakaan negara pada tahun 1996, bilangan celik huruf di negara ini ialah 93 peratus tetapi hanya 29 peratus daripadanya menggunakan perkhidmatan perpustakaan,'' jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pengembelingan tenaga dari agensi kerajaan berkaitan amat diperlukan dalam menangani masalah tersebut agar tabiat kurang membaca di kalangan rakyat di negara ini dapat dipupuk melalui program kemasyarakatan yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Menteri mencadangkan agar mengubah suasana persekitaran perpustakaan awam sedia ada kepada lebih dinamik dalam usaha menarik minat orang ramai mengunjungi perpustakaan.

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum