SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Bakteria basmi nyamuk virus JE ditemui

PETALING JAYA 4 Mei - Malaysia mencapai satu lagi kejayaan apabila menemui bakteria baru pembasmi jentik-jentik nyamuk culex yang membawa virus Japanese Encephalitis (JE) yang telah meragut nyawa 105 orang pada tahun 1998 dan 1999.

Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng berkata, bakteria itu yang dikenali sebagai Bacillus Sphaericus dijumpai daripada sampel tanah yang dikutip dari beberapa tempat di Malaysia.

``Bakteria itu amat berkesan terhadap jentik-jentik culex kerana ia mempunyai enzim yang boleh mengaktifkan toksin bakteria dengan pantas mengakibatkan keracunan di dalam sistem pencernaan nyamuk apabila bakteria itu dihadamkan,'' katanya.

Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, Chua memberitahu, bakteria itu ditemui hasil daripada penyelidikan selama beberapa tahun oleh Ketua Bahagian Antomologi (Kaji Serangga), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Lee Han Lin.

Katanya, penggunaan bakteria untuk menghapuskan nyamuk itu adalah satu kaedah mesra alam dan tidak membahayakan selain mempunyai kesan yang rendah terhadap ekosistem serta menjimatkan kos kepada pengguna apabila dikomersialkan nanti.

Bagi mengkomersialkan kaedah itu, menurut Chua, para penyelidik IMR telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bioteknologi tempatan iaitu Inbiotech Sdn. Bhd., bagi penghasilan produk itu secara besar-besaran.

``Pengeluaran secara komersial sedang dijalankan dan penduduk Malaysia boleh menggunakan produk ini dalam tempoh setahun dua ini,'' katanya.

Beliau menambah, bakteria itu juga boleh dicampurkan dalam air atau dicampur dalam kuantiti kecil racun serangga kimia yang kemudiannya dilepaskan menerusi semburan kepada tempat-tempat pembiakan nyamuk.

``Dengan ini penggunaan racun serangga dapat dikurangkan dan dapat mengawal penyakit-penyakit bawaan vektor,'' katanya.

Sebelum sidang akhbar itu, Chua menyampaikan hadiah kepada penerima-penerima Skim Anugerah Daya Usaha Guiness.

Antara penerima anugerah tersebut ialah Yong Yoke Kien, Profesor Lam Sai Kit, Dr. Chua Kaw Bing dan Ketua Bahagian Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Selayang, Dr. V. Pathmanathan.

Yong Yoke Kien menerima anugerah itu berdasarkan kerja-kerja kraf tangan yang dilakukannya sehingga dapat menyara kehidupannya walaupun dilahirkan dengan jari kedua-dua belah tangannya melekat seperti dalam satu gumpalan.

Profesor Lam Sai Kit dan Dr. Chua Kaw Bing dihargai kerana penemuan mereka terhadap sejenis kelawar buah tempatan, yang didapati sebagai perumah semula jadi virus nipah.

Dr. V. Pathmanathan pula menerima anugerah tersebut berdasarkan kejayaannya dan Hospital Selayang memindahkan anggota tangan kepada seorang bayi berusia 28 bulan dalam satu pembedahan.

Turut hadir ialah `bayi ajaib' penerima tangan baru dalam pembedahan yang bersejarah itu, Chong Lih Ying yang kini telah berusia setahun.

Oleh: ROSMAH MOHD. DAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum