SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Kaitan strategik industri petroleum dan angkasa

BARU-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membuat satu teguran yang menarik terhadap OPEC atau Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum dalam ucapan beliau di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dr. Mahathir menegur supaya OPEC memainkan peranan lebih berkesan sehingga mampu mempengaruhi agenda-agenda WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia) serta agenda-agenda globalisasi lain yang kebanyakannya disusun oleh negara-negara maju.

OPEC adalah pertubuhan negara-negara pengeluar petroleum yang kebanyakannya merupakan negara Islam. Negara-negara ini bergantung kepada industri petroleum sebagai industri dan penjana ekonomi yang paling utama. Malah ada yang muncul sebagai antara negara yang paling kaya di dunia disebabkan oleh industri petroleum ini.

Teguran Perdana Menteri itu patut diberi perhatian serius terutama oleh OPEC kerana OPEC memang mempunyai beberapa ``kekuatan ekonomi yang unik'' yang boleh mempengaruhi agenda globalisasi. Kekuatan ekonomi ini termasuk perkaitan yang strategik antara industri petroleum dan industri angkasa.

Secara khususnya, aspek industri angkasa yang mempunyai perkaitan unik dengan industri petroleum adalah industri pelancaran kenderaan pelancar dan industri satelit. Kedua-dua elemen industri angkasa ini merupakan aktiviti ekonomi paling utama dalam dunia industri angkasa antarabangsa.

Kenderaan pelancar adalah kenderaan khas berenjin roket yang digunakan untuk membawa satelit dan muatan lain ke angkasa. Kenderaan ini menggunakan banyak bahan api dan bahan pengoksida cecair sehinggakan kira-kira 75 peratus daripada jisim ataupun saiz kenderaan ini merupakan bahan api dan pengoksida cecair.

Bahan api cecair yang biasanya merupakan hidrogen cecair dan bahan pengoksida cecair yang biasanya merupakan oksigen cecair adalah bahan paling penting di segi ekonomi kepada industri kenderaan pelancar.

Bahan-bahan ini disimpan dalam bentuk cecair dalam tangki khas yang membentuk sebahagian besar daripada struktur keseluruhan kenderaan pelancar.

Hidrogen cecair dan oksigen cecair memanglah berbeza berbanding hasil petroleum dalam bentuk yang digunakan dalam keperluan harian seperti bahan api kenderaan kovensional dan bahan api untuk industri. Bagaimanapun, hidrogen cecair dan oksigen cecair adalah gas dalam bentuk cecair yang memerlukan teknik pengurusan yang sama seperti pengurusan hasil petroleum dalam bentuk cecair yang lain, lebih-lebih lagi gas petroleum cecair atau LPG (liquid petroleum gas).

Secara umumnya hasil petroleum cecair ini mudah terbakar dan meletup. Oleh itu ia memerlukan pengurusan yang khusus dalam pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan dan penyaliran. Secara langsung, pengalaman pengurusan hasil petroleum cecair amat penting.

Sungguhpun negara-negara OPEC masih menggunakan tenaga kepakaran luar terutama dalam bidang kejuruteraan yang kritikal, negara-negara ini tetap mempunyai pengalaman dan kepakaran sendiri dalam bidang industri petroleum setelah beroperasi selama berpuluh tahun.

Pengalaman menguruskan hasil petroleum cecair ini amat perlu dan penting kepada negara-negara yang menceburi bidang pengurusan bahan api hidrogen cecair dan bahan pengoksida oksigen cecair yang digunakan oleh kenderaan pelancar. Tidak banyak negara yang mempunyai pengalaman ini kecuali negara-negara pengeluar petroleum yang kebanyakannya merupakan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Pengalaman pengurusan bahan api dan pengoksida cecair ini merupakan aset yang berharga kepada negara-negara Islam sekiranya mereka menceburi industri angkasa khususnya yang berkaitan dengan industri hidrogen dan cecair. Kelebihan ini membolehkan negara-negara ini menyediakan tenaga kepakaran tempatan untuk beroperasi dalam bidang industri angkasa.

Perkaitan antara industri petroleum dan industri angkasa bukan setakat syarikat industri angkasa yang menawarkan perkhidmatan pelancaran satelit dari pelantar carigali petroleum. Penggunaan pelantar carigali petroleum sebagai pelantar pelancaran satelit mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan pelantar pelancaran konvensional.

Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelancaran satelit yang unik ini merupakan gabungan tiga buah syarikat dari Amerika Syarikat, Ukraine dan Norway yang membentuk syarikat Sea Launch Company. Syarikat ini telah mengubahsuai pelantar carigali petroleum untuk tujuan ini. Syarikat ini juga menyediakan kapal-kapal khas bagi mengangkut kenderaan pelancar dan menunda pelantar carigali petroleum yang diubahsuai kepada pelantar pelancaran satelit berkenaan.

Operasi Sea Launch Company ini membolehkan kenderaan pelancar dilancarkan dari lokasi-lokasi strategik, termasuklah lokasi-lokasi berhampiran dengan garisan khatulistiwa yang amat penting di segi ekonomi bahan api dan pengoksida. Dengan ini satelit dapat dilancarkan di lokasi berdasarkan misi spesifik. Operasi ini jelas membuktikan perkaitan yang unik antara industri petroleum dan industri angkasa.

Satu lagi segmen industri angkasa yang berkait terus dengan industri petroleum adalah aktiviti perkhidmatan satelit. Perkaitan ini wujud kerana satelit digunakan untuk memetakan taburan bahan galian petroleum. Satelit juga digunakan untuk menguruskan perdagangan petroleum antarabangsa.

Satelit pada hari ini boleh mengesan kedudukan dan jumlah kandungan petoleum dari angkasa sama ada di bawah daratan ataupun di bawah dasar laut. Satelit yang sama juga boleh memeta dengan tepat kedudukan dan jumlah kandungan petroleum yang dikesan ini. Data yang diperoleh amat berguna bagi tujuan operasi pengeluaran dan pemasaran petroleum berkenaan.

Kawasan-kawasan carigali petroleum juga biasanya terletak jauh dari kawasan yang mempunyai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, kediaman dan kemudahan perhubungan. Antara kawasan-kawasan ini adalah perairan laut yang jauh dari daratan atau pun kawasan pedalaman seperti di tengah padang pasir yang luas.

Kawasan-kawasan carigali petroleum ini juga biasanya terdedah kepada bahaya malapetaka semula jadi seperti ribut taufan dan gempa bumi. Dalam keadaan seperti ini, sistem perhubungan yang paling baik dan selamat adalah sistem perhubungan satelit.

Satelit juga sesuai digunakan dalam pemantauan atau pengawasan perdagangan petroleum yang melibatkan pengangkutan pada jarak yang jauh. Kapal tangki yang membawa muatan petroleum misalnya dapat dipantau dan diawasi pelayarannya sehinggalah ia selamat sampai ke destinasi.

Pemantauan kapal tangki pengangkut oleh satelit penting bukan sahaja dari segi keselamatan perniagaan petroleum, tetapi juga di segi faktor alam sekitar. Satelit dapat mengesan kesan tumpahan minyak di permukaan air sekiranya terdapat kebocoran pada kapal tangki pengangkut petroleum.

Gambar yang diperoleh dari satelit juga dapat menyediakan maklumat yang lengkap termasuk jumlah minyak dan kawasan liputan pencemaran permukaan laut sekiranya berlaku masalah tumpahan minyak. Data yang diperoleh itu dapat digunakan dengan berkesan untuk operasi pembersihan.

Hasil petroleum juga disalirkan pada jarak yang jauh menggunakan saluran paip. Ada di antara paip-paip ini begitu panjang sehingga merentasi beberapa buah negara. Satelit juga sesuai digunakan bagi mengawasi sistem saliran petroleum menggunakan paip pada jarak jauh. Pengawasan satelit dapat mengesan sekiranya berlaku kebocoran pada paip yang boleh menyebabkan kebakaran dan letupan serta pencemaran alam sekitar.

Pengawasan penyaliran petroleum melalui paip jarak jauh amat sesuai dilakukan oleh satelit kerana ia melibatkan kawasan geografi lebih daripada sebuah negara. Oleh itu, pengawasan konvensional dari muka bumi boleh menimbulkan risiko perbalahan dan konflik serta sabotaj politik. Dalam keadaan ini, satelit mempunyai peranan penting bagi memelihara kestabilan negara-negara terlibat.

Industri petroleum bukan setakat menjadi pengguna kepada teknologi angkasa yakni aplikasi satelit. Industri petroleum juga berevolusi bersama dengan teknologi angkasa.

Negara-negara pengeluar petroleum terutama anggota-anggota OPEC dan Malaysia sendiri secara sedar atau tidak telah menyediakan tenaga kerja berpengalaman dalam bidang pengurusan bahan api dan pengoksida cecair. Pengalaman ini sebenarnya merupakan satu aset yang berharga dalam industri angkasa kerana pengurusan bahan api dan pengoksida cecair adalah aktiviti yang penting dalam operasi kenderaan pelancar.

Negara-negara OPEC dan Malaysia juga tidak harus terus menjadi pengguna teknologi satelit semata-mata dalam aktiviti industri petroleum masing-masing. Peranan sebagai pengguna satelit yang aktif sebenarnya membuka peluang kepada negara-negara ini untuk meneroka bidang industri perkhidmatan satelit jika tidak industri pembuatan satelit.

OPEC dan Malaysia mempunyai kekuatan unik yang boleh digunakan untuk mencorak perkembangan indusri angkasa antarabangsa melalui aplikasi teknologi angkasa dalam industri petroleum.

Saranan Dr. Mahathir di UAE itu patut membuka minda pihak-pihak berkenaan supaya memikirkan cara yang berkesan untuk sama-sama mencorakkan globalisasi bersama negara-negara maju di dunia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum