SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

GD Heritage perkenal rumah prasiap


ROSLI Ismail (kiri) dan salah seorang kakitangannya menunjukkan model TFM2000 di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh:SITI NORSHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
KUALA LUMPUR 7 Mei - GD Heritage Sdn. Bhd. (GDH) yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjaya mencipta produk panel kayu yang mampu mengurangkan sehingga 75 peratus masa pembinaan sebuah rumah berbanding kaedah sedia ada.

Pengarah Urusan GDH, Rosli Ismail berkata, produk yang dinamakan TFM2000 itu berbentuk prasiap yang dibuat di kilang dan dipasang terus di tapak binaan.

``Kaedah ini dengan keluasan binaan 3,000 kaki persegi cuma memerlukan tiga hari untuk dipasang sepenuhnya menggunakan dua pekerja sahaja.

``Pembeli tidak perlu lagi menunggu hingga bertahun lamanya untuk mendiami rumah mereka dan dalam masa sama membayar faedah pinjaman yang agak tinggi,'' katanya kepada Utusan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

GDH merupakan syarikat tunggal di Malaysia dan di rantau ini yang mereka cipta pembinaan struktur rangka kayu dan mendapat lesen pengedaran bagi Asia Tenggara.

Rosli berkata, bagi produk baru ini, GDH telah menubuhkan syarikat usaha sama dengan Midland Timber Engineering (UK) Ltd. dan Long Huat Furniture Sdn. Bhd., anak syarikat Long Huat Bhd. yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Projek itu selain mendapat nasihat teknikal Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), ia juga mendapat sokongan padu daripada Majlis Balak Malaysia, Lembaga Industri Balak Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Dewan Usahawan Muda Bumiputera Malaysia.

Beliau berkata, produk panel rangka kayu yang menggunakan 100 peratus bahan tempatan itu akan menemui pasaran tidak lama lagi.

Rosli menjelaskan TFM2000 adalah merupakan struktur bangunan berasaskan sistem panel rangka kayu moden yang diperbuat menggunakan kayu tropika daripada kumpulan kayu keras pertengahan.

Semua struktur panel ini menggunakan kayu daripada jenis meranti, digabungkan dengan teknologi kayu berlamina gam yang mana penyepaduan teknologi dan kaedah sistematik ini menjadikannya jauh lebih efektif serta praktikal berbanding kaedah masa kini.

Rosli berkata, keunikan TFM2000, satu kaedah pembinaan alternatif yang bakal mewarnai era pembinaan di negara ini adalah, ia mampu dipadankan dengan apa jua pilihan dinding serta lantai mengikut selera serta kemampuan pembeli.

Menceritakan sejarah seni bina tradisional, rumah kayu bukan sesuatu yang asing kepada penduduk tempatan, malah hampir 40 peratus rumah kayu masih berdiri kukuh di negara ini.

``Walaupun negara kita kaya dengan hasil pembalakan, tetapi dengan berlakunya fenomena rumah batu beratap genting pada awal tahun 70-an, telah membawa jauh seni bina tradisional ini tanpa sentuhan atau pembaharuan.

``Kurang arif tentang kekuatan kayu akan menjadikan kos seni binanya begitu mahal hingga kurang mampu dimiliki,'' katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan Long Huat Furniture Sdn. Bhd., BG Lim berkata, soal anai-anai yang sering dikaitkan dengan bangunan kayu tidak timbul sama sekali.

``Pemikiran seperti ini tidak boleh diterima lagi kerana kita mempunyai cara mengatasinya dengan penggunaan teknologi serta kaedah terkini yang mampu melindungi serta memanjangkan usia kayu,'' katanya.

Katanya, saiz kayu yang digunakan TFM2000 jauh lebih kecil tetapi berdaya tahan tinggi merupakan faktor penting dalam merawat.

``Pengawetan dijalankan dengan mudah sekali gus memanjangkan hayat kayu serta mampu menghindarinya daripada perosak sama ada serangga mahupun alam semula jadi,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum