SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

R&D: Proton belanja RM1b setahun

SHAH ALAM 9 Mei - Pengeluar kereta nasional Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) membelanjakan RM1 bilion setiap tahun dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan nilai kejuruteraan produknya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, hari ini.

Tahap perbelanjaan ini menunjukkan usaha Proton bagi membina keupayaan kejuruteraannya agar ia mempunyai lebih banyak produk nilai ditambah baru, katanya.

``Dengan lebih banyak produk nilai ditambah, Proton akan dapat menembusi pasaran-pasaran eksport baru,'' katanya kepada kira-kira 150 diplomat asing yang melawat kilang Proton di sini.

Tengku Mahaleel berkata, dengan keupayaan kejuruteraan yang lebih tinggi, Proton dapat mengeluarkan lebih banyak kereta yang berteknologi dengan reka bentuk yang lebih baik yang boleh dijual di 200 negara.

Kira-kira RM500 juta diperlukan dalam usaha-usaha permulaan dalam setiap model baru, katanya.

``Jika kosnya tepat, jika reka bentuknya tepat, kami pun boleh pasarkan kereta di Jepun, Korea dan Amerika dan lebih banyak negara di Eropah seperti Jerman,'' katanya.

Mengenai hal ini, Tengku Mahaleel yakin model terbaru Proton Waja bukan sahaja akan menggegarkan pasaran tempatan, tetapi juga pasaran seberang laut.

``Waja, mengikut reka bentuknya, telahpun melepasi keperluan minimum standard keselamatan Eropah yang akan dilaksanakan pada 2003,'' katanya.

Di pasaran Malaysia, katanya, Waja kini merupakan antara kereta paling selamat dari segi struktur badan.

Proton, katanya, sentiasa komited untuk memasukkan sebanyak mana ciri-ciri keselamatan, tetapi kenderaannya mestilah mampu dimiliki.

Beliau juga berkata, Proton bersedia untuk memasukkan aksesori keselamatan penuh dalam Waja sekiranya pelanggan bersedia untuk mengeluarkan wang yang lebih.

``Contohnya, kita boleh letakkan enam beg udara dalam model Waja jika ada permintaan daripada pelanggan,'' katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum