SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Giatkan teknologi automasi untuk majukan K-ekonomi

PETALING JAYA 11 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan syarikat-syarikat tempatan menggiatkan penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi bagi menyokong usaha kerajaan menjadikan ekonomi negara ini berlandaskan pengetahuan (K-ekonomi).

Sehubungan itu beliau berkata, syarikat-syarikat tempatan mesti mencari jalan meminimumkan penggunaan tenaga buruh dalam segala aspek pembuatan dan penyediaan perkhidmatan bagi membolehkan negara mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

``Syarikat tempatan yang mahu melabur dalam operasi baru harus memberi pertimbangan kepada mekanisasi kerana ia boleh mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja asing.

``Ia juga adalah sebahagian dari proses untuk menambah jumlah K-pekerja di negara ini (kerana) mekanisasi akan membolehkan K-pekerja kita diambil bekerja,'' kata Abdullah dalam ucaptama perasmian Persidangan dan Pameran Teknologi Maklumat Korporat Malaysia 2001 di sini hari ini.

Persidangan dan pameran yang diadakan selama empat hari mulai semalam itu hanya disertai oleh kira-kira 17 syarikat tempatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, bidang mekanisasi merupakan sebahagian daripada kemajuan pesat yang dibawa oleh teknologi sejak 50 tahun lalu selain bidang komunikasi dan maklumat.

Perubahan yang paling dramatik adalah dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibawa oleh penyatuan teknologi berbeza dalam pengkomputeran, komunikasi dan perniagaan, tegasnya.

``Pengaliran keluar maklumat yang tidak disekat atau ditapis akan mewujudkan dunia berasaskan maklumat dan keputusan pengurusan akan menjadi cabaran menguruskan kerja berasaskan pengetahuan,'' katanya.

Abdullah berkata, walaupun banyak syarikat yang berhasil mengumpulkan maklumat tetapi kelebihan daya saing sebenarnya banyak bergantung kepada kebolehan untuk mengumpul dan menggunakan pengetahuan daripada maklumat tersebut.

Kebolehan itu, tambahnya, boleh membentuk perniagaan tempatan yang cekap dari segi intelektual, selaras dengan wawasan kerajaan untuk membangunkan pusat ICT serantau melalui Koridor Raya Multi Media.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, syarikat tempatan tidak harus berpuas hati dengan sekadar menjadi pengguna produk ICT sahaja sebaliknya harus berusaha membangunkan perisian serta harta intelek sendiri.

``Kekayaan sesebuah negara sekarang ini tidak lagi diukur berdasarkan pengeluaran fizikalnya tetapi lebih banyak diukur berdasarkan pengeluaran harta intelek.

``Di Amerika Syarikat, sebagai contoh, ada pihak yang menganggarkan sumbangan harta intelek kepada negara itu pada kadar 30 peratus,'' katanya.

Abdullah berkata, syarikat tempatan juga harus mengkaji semula model perniagaan masing-masing memandangkan pasaran perniagaan masa hadapan akan dikuasai oleh syarikat yang memiliki rangkaian perniagaan antarabangsa.

Perubahan teknologi dan ekonomi telah membina permintaan baru bagi syarikat membekalkan perkhidmatan dan barangan secara kompetitif kepada pasaran yang global serta lebih cerewet mengenai kualiti, masa dan harga, katanya.

``Piawaian tempatan bagi prestasi sekarang ini sudah digantikan oleh penanda aras yang merentasi negara.

``Masa depan akan dimiliki oleh syarikat yang menjalankan perniagaan antarabangsa, atau sekurang-kurangnya yang mempunyai perangkaian antarabangsa seperti perkongsian, usaha sama, francais dan agensi,'' tambah beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum