SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

ICT: Syarikat besar bersikap dingin

Oleh:ABU HAKIM TANZIMUDDIN
SUBANG JAYA 11 Mei - Jumlah penyertaan syarikat senaraian awam yang amat mengecewakan dalam Persidangan dan Pameran Teknologi Maklumat Korporat (Citex) Malaysia 2001 memperlihatkan sikap tidak endah mereka terhadap kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Presiden Persekutuan Syarikat Senarai Awam (FPLC), Datuk Megat Najmuddin Khas berkata, daripada lebih 1,200 syarikat yang dijemput, hanya dua syarikat senaraian awam di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan 15 syarikat menyertainya.

Megat Najmuddin berkata, perkembangan ini mempamerkan kedaifan syarikat tempatan terhadap kepentingan ICT ketika lebih 40 peratus syarikat senarai awam Malaysia tidak pun mempunyai laman web malahan yang tidak mempunyai e-mel juga besar bilangannya.

``Kita mengadakan persidangan ini untuk membekalkan penyelesaian di samping membantu mereka sekurang-kurangnya muncul dengan satu laman web yang akan menjadi rujukan setiap pelabur,'' katanya pada sidang akhbar selepas perasmian sidang itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Beliau menambah, FPLC kini sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat perkhidmatan ICT untuk membentuk sebuah gerbang, PLC.malaysia.net yang menyenarai semua syarikat di BSKL mengikut bidang perniagaan mereka bagi rujukan para pelabur khususnya pelabur asing.

``Gerbang yang dijangka siap September ini membolehkan mana-mana pelabur hanya perlu klik pada sektor yang diminati umpamanya farmasi dan mendapatkan maklumat serta aktiviti semua syarikat Malaysia dalam sektor berkaitan,'' katanya.

Menurut beliau, gerbang itu akan membantu kemasukan para pelabur ke BSKL di samping menyumbang ke arah menarik RM1.5 trilion yang diperlukan oleh pasaran saham tempatan seperti yang digariskan di bawah pelan induk kewangan negara.

``Tetapi jika syarikat-syarikat Malaysia terus tidak memberi perhatian kepada kepentingan ICT, kita akan menghadapi masalah besar merealisasikan matlamat ini,'' katanya.

Walaupun begitu katanya, penyertaan kecil pada persidangan itu kali ini mungkin berpunca daripada masalah yang dihadapi oleh syarikat terbabit dalam suasana ekonomi kurang menyenangkan kini.

``Mereka mungkin mahu menumpukan kepada strategi untuk survival dalam suasana ekonomi dan pasaran saham yang kurang cergas kini,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak seharusnya begitu kerana ICT adalah alat yang menentukan survival mereka dalam era globalisasi ekonomi ini lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan penuh Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN) pada 2005 dan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas itu.

Katanya, syarikat-syarikat Malaysia perlu mengubah tanggapan bahawa ICT melibatkan pelaburan yang besar kerana hakikat ia bukan begitu sebaliknya menjadi alat meringankan beban pengurusan dan mengurangkan kos operasi.

Katanya, syarikat tempatan perlu memberi keutamaan yang lebih kepada ICT berbanding perbelanjaan kepada perkara-perkara lain yang kerap mendapat perhatian seperti kenderaan dan pejabat mewah.

``Kita perlu membandingkan kemajuan syarikat kita dalam ICT dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Australia,'' katanya sambil menambah Malaysia masih ketinggalan berbanding negara-negara tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum