SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Daewoo tawarkan TLDM kapal selam jimat RM20j

KUALA LUMPUR 13 Mei - Sebuah syarikat Korea yang menawarkan penjualan kapal selam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata Malaysia boleh menjimatkan RM20 juta jika kerajaan bersetuju membeli produk syarikat berkenaan.

Penyelesaian ekonomi yang ditawarkan oleh Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering Co. Ltd (DSME) kepada TLDM ialah gabungan satu unit kapal selam terpakai dan dua unit baru.

Pengarah Urusan Kanan syarikat, Choe Nak-Sung berkata kapal selam terpakai itu berusia kurang daripada lapan tahun dan tidak memerlukan perkhidmatan baik pulih dalam masa enam tahun selepas pembeliannya manakala kapal selam baru boleh dibina kurang daripada setahun.

"Kombinasi satu unit terpakai tetapi seakan-akan baru dan dua kapal selam baru adalah bersamaan dengan kapasiti pertempuran tetapi lebih murah daripada tiga kapal selam baru," katanya kepada wartawan Malaysia di Seoul baru-baru ini.

DSME, syarikat perkapalan kedua terbesar di dunia adalah antara beberapa negara asing termasuk HDW dari Jerman, DCN dari Perancis, RDM Submarines dari Belanda dan sebuah syarikat Rusia yang telah menawarkan penjualan kapal selam masing-masing kepada Malaysia.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Abu Bakar Jamal bulan lepas berkata bahawa tentera laut sedang menilai tawaran berkenaan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan jenis kapal selam yang akan dibeli serta negara pengeluarnya.

TLDM dijangka dibekalkan dengan empat kapal selam tetapi keputusan akhir bergantung kepada kos, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum