SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Skala ROM - UiTM cipta pengukur risiko tanah runtuh


DR. ROSLAN (kiri) dan Mazidah menunjukkan hakisan tanah berbentuk alur yang mungkin boleh menyebabkan tanah runtuh.

Oleh: MARZITA ABDULLAH
JIKA gegaran gempa bumi boleh diukur menggunakan skala Richter, kejadian tanah runtuh juga kini boleh diukur mengikut skala yang dikenali sebagai Skala ROM.

Skala ROM, ciptaan penyelidik tempatan merupakan kaedah yang mengukur tahap risiko tanah runtuh mengikut sifat semula jadi fizikal tanah itu.

Ia juga mengambil kira ciri-ciri tanah runtuh yang terhasil daripada sifat fizikal tanah tersebut.

Dua penyelidik yang terlibat ialah Prof. Madya Dr. Roslan Zainal Abidin dan pensyarah, Mazidah Mukridi dari Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Menurut Dr. Roslan, ukuran yang diperoleh melalui skala ROM bukan sahaja akan menunjukkan tahap kebolehruntuhan tanah di kawasan terbabit tetapi ia juga menunjukkan tahap-tahap keselamatan kawasan itu.

``Contohnya jika analisis sampel tanah menunjukkan angka 8 pada skala ROM maka kawasan itu berada dalam keadaan kritikal dan berisiko menghadapi tanah runtuh tetapi jika ia kurang 1.5 pada skala berkenaan maka risikonya rendah,'' katanya.

Selain itu, angka pada skala berkenaan juga telah memperlihatkan ciri-ciri hakisan sama ada ia adalah berbentuk hakisan keping, hakisan alur ataupun hakisan gegeluk.

``Sekali gus kita akan tahu sama ada kawasan itu mempunyai jumlah komponen pasir yang banyak atau tanah liat ataupun lumpur,'' katanya.

Proses mendapatkan ukuran itu dilakukan dengan mengambil sampel tanah di kawasan yang pernah berlaku kejadian tanah runtuh.

Selain itu, skala itu juga dapat memberi keputusan terhadap sampel-sampel tanah di kawasan yang belum pernah berlaku kejadian itu ataupun kawasan yang akan dibangunkan.

Analisis terhadap sampel tanah akan dilakukan di dalam makmal dengan menggunakan proses pengayakan iaitu mengasingkan komponen pasir, kelodak dan tanah liat.

Selepas proses berkenaan, pengiraan akan dilakukan melalui formula peratus pasir + peratus kelodak (lumpur) dibahagikan dengan 2 x peratus tanah liat.

Angka 2 adalah untuk mendapatkan skala tanah runtuh dengan mengaitkannya terhadap ciri-ciri yang terdapat di kawasan kejadian.

Dr. Roslan berkata, kaedah yang digunakan sekarang iaitu Persamaan Bouyancos hanya dapat menentukan indeks kebolehruntuhan tanah dan sama ada kejadian di sesuatu kawasan itu berisiko rendah atau tinggi.

``Kita mengambil contoh persamaan itu namun kaedah yang kita hasilkan adalah lebih terperinci dan memudahkan pemaju atau pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah keselamatan sebelum pembangunan dilaksanakan,'' katanya.

Sementara itu menurut Dr. Roslan, penyelidikan projek berkenaan adalah di bawah naungan Biro Penyelidikan dan Perundingan UiTM dengan kos pembiayaan berjumlah RM20,000.

Ia bermula pada 1 Mei tahun lalu dan beberapa kajian telah dilakukan di kawasan-kawasan yang pernah berlaku kejadian tanah runtuh di negara ini.

Berikut adalah hasil keputusan daripada sampel tanah di kawasan tanah runtuh yang diukur mengikut skala ROM.

Kawasan Skala ROM Tahap

1. Tapah-Tanah Rata (KM 20.6) 3.64 Sederhana

2. Bukit Antarabangsa 6.87 Tinggi

3. Genting Highlands 4.09 Tinggi

4. K.L.-Karak (KM 63.8) 5.12 Tinggi

5. Tapah-Tanah Rata (KM 29)13.0 Kritikal

6. Grik-Jeli (KM 72) 13.72 Kritikal

7. Paya Terubung 4.65 Tinggi

8. Tapah-Tanah Rata (KM 47) 0.66 Rendah

9. Bentung-Raub (KM 27) 1.07 Rendah

Hasil usaha Dr. Roslan dan Mazidah itu, skala berkenaan dinamakan ROM bersempena gabungan dua nama penyelidik berkenaan yang berjaya mencipta skala tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum