SAINS & TEKNOLOGI

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Pelancongan angkasa bukan lagi fantasi

PADA awal bulan Mei ini seluruh dunia dihebohkan dengan berita kembalinya seorang angkasawan yang istimewa dari angkasa. Keistimewaan angkasawan ini ialah beliau bukanlah angkasawan profesional, tetapi seorang orang awam yang melancong ke angkasa.

Beliau merupakan pelancong angkasa yang telah menghabiskan masa selama lapan hari di angkasa termasuk enam hari bercuti di Stesen Angkasa Antarabangsa atau ISS (International Space Station).

Pelancong angkasa ini telah berlepas ke angkasa bersama dua orang angkasawan profesional Rusia menggunakan sebuah kenderaan pelancar.

Beliau kemudian tinggal di ISS yang berada di orbit mengelilingi bumi ketika dua orang angkasawan itu menjalankan tugas mereka di stesen angkasa berkenaan.

Setelah itu, beliau kembali ke bumi bersama dengan angkasawan-angkasawan tersebut.

Pelancong angkasa ini, seorang jutawan Amerika Syarikat bernama Dennis Tito, telah mengeluarkan perbelanjaan berjumlah AS$20 juta (kira-kira RM76 juta) untuk pakej pelancongan yang luar biasa itu.

Pelancongan seperti yang dilalui oleh Tito mungkin tidak akan menjadi luar biasa dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sejak kejayaan `percutian' beliau di ISS itu, pelancongan angkasa mula diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan dan juga agensi angkasa lepas beberapa buah negara maju.

Sebenarnya idea pelancongan angkasa bukanlah perkara baru dalam bidang ekonomi angkasa.

Pelancongan angkasa dianggap salah satu daripada aktiviti ekonomi angkasa moden yang paling berpotensi di samping penjanaan tenaga suria dan perlombongan di angkasa.

Antara penghalang utama perkembangan aktiviti pelancongan angkasa ialah kos misi menerbangkan angkasawan ke angkasa yang amat tinggi.

Pelancaran kenderaan pelancar membawa angkasawan untuk tujuan konvensional seperti penyelidikan dan misi rasmi yang lain juga menelan perbelanjaan yang mahal.

Pelbagai cadangan ditimbulkan bagi mengatasi masalah perbelanjaan tinggi misi-misi ini.

Antara idea yang timbul ialah saranan supaya dikomersialkan misi-misi berkenaan melalui penawaran tempat duduk angkasawan berbayar kepada sesiapa yang berminat dan layak ke angkasa.

Sebagai contoh, kenderaan pelancar Soyuz Rusia yang membawa pelancong angkasa Dennis Tito pada awal bulan Mei ini mempunyai tiga tempat duduk.

Dua tempat duduk dikhaskan kepada angkasawan profesional yang melaksanakan misi rasmi, sementara tempat duduk ketiga disediakan kepada mana-mana angkasawan yang sanggup menyediakan perbelanjaan sendiri pada harga RM76 juta.

Dengan cara itu misi kenderaan pelancar Soyuz dapat dijimatkan perbelanjaannya.

Menurut satu kertas penyelidikan bertajuk Prospek Pelancongan Angkasa yang telah dibentangkan di Universiti Teknikal Berlin, Jerman pada 15 Mei 1996, kira-kira 70 peratus daripada penduduk Jepun, 61 peratus daripada penduduk Amerika Syarikat dan 43 peratus daripada penduduk Jerman mempunyai minat melancong ke angkasa.

Penyelidikan itu juga merumuskan bahawa sekiranya harga tiket AS$50,000 (RM198,000) dikenakan kepada pelancong angkasa, terdapat kira-kira satu juta orang akan melancong ke angkasa setiap tahun.

Harga tiket pada kadar RM198,000 memanglah jauh lebih murah daripada RM76 juta yang dibayar oleh Tito kepada kenderaan pelancar Soyuz.

Bagaimanapun, harga tiket mungkin dapat mencecah kadar serendah itu jika terdapat permintaan yang tinggi manakala kenderaan pelancar khas pula boleh membawa ramai penumpang pada kos yang lebih murah.

Sejak tahun 1993, sebuah agensi yang dianggotai oleh pakar-pakar sains, teknologi dan ekonomi angkasa di Jepun yang dikenali sebagai Japanese Rocket Society (JRS) telah menjalankan penyelidikan berkenaan kenderaan pelancar yang paling sesuai untuk membawa pelancong ke angkasa.

Hasil penyelidikan itu menghasilkan idea untuk membina sebuah kenderaan pelancar pelancongan angkasa yang dinamakan Kankoh-Maru.

Kankoh-Maru direka bentuk untuk membawa 50 orang pelancong angkasa pada paras ketinggian 200 kilometer dari muka bumi. Pesawat itu boleh melakukan penerbangan berterusan selama 24 jam dalam setiap misi.

Model kenderaan pelancar pelancongan angkasa itu pernah dipamerkan di Farnborough Air Show pada tahun 1994, Pameran Aeroangkasa Tokyo 1995 dan Paris Air Show 1995.

Terdapat banyak lagi penyelidikan yang dijalankan oleh pelbagai agensi di negara-negara maju berhubung potensi pelancongan angkasa dari segi pasaran dan teknologi.

Hasil yang diperoleh daripada penyelidikan itu amat menggalakkan dan saintis-saintis merumuskan bahawa pelancongan angkasa akan mula aktif pada tahun-tahun awal abad ke-21.

Ia akan muncul sebagai aktiviti ekonomi angkasa yang utama dalam tempoh 20 hingga 50 tahun dari sekarang.

Perkembangan pelancongan angkasa ini juga telah menarik minat sektor perhotelan yang sememangnya merupakan komponen utama dalam industri pelancongan.

Sehingga kini telah ada syarikat-syarikat perhotelan antarabangsa yang berani membuat kenyataan rasmi berkenaan rancangan mereka untuk membina dan menjalankan operasi hotel di angkasa.

Satu reka bentuk hotel di angkasa yang popular di kalangan penggiat dan pakar ekonomi angkasa ialah reka bentuk hotel yang dihasilkan oleh Shimizu Corporation.

Hotel itu merupakan sebuah struktur bersaiz gergasi yang dilengkapi dengan beberapa ratus buah bilik dan juga tempat kenderaan pelancar pelancongan angkasa berlabuh.

Bilik-bilik hotel ini terletak pada struktur yang berputar bagi menghasilkan kesan graviti buatan (artificial gravity) untuk keselesaan pelancong-pelancong angkasa menginap.

Idea kemudahan penginapan seperti hotel di angkasa bukanlah perkara baru. Sejak dari tahun 70-an lagi manusia telah menginap di stesen angkasa yang terletak di ruang angkasa.

Malah stesen angkasa besar dan canggih seperti ISS pada hari ini memang boleh berfungsi sebagai hotel yang agak selesa kepada pelancong angkasa.

Penglibatan industri perhotelan dalam perkembangan pelancongan angkasa telah menarik satu lagi komponen ekonomi yang berkait rapat dengan hotel iaitu aktiviti rekreasi angkasa.

Pada hari ini gabungan dan kerjasama pakar ekonomi dan teknologi serta saintis telah menghasilkan satu konsep aktiviti rekreasi yang amat menarik, iaitu menjadikan persekitaran mikrograviti di angkasa sebagai persekitaran aktiviti rekreasi khas.

Tindakan berani pelancong angkasa Tito yang baru-baru ini menginap selama enam hari di ISS telah membuktikan bahawa industri perhotelan angkasa memang mempunyai potensi.

Menurut sumber-sumber pihak mengendali kenderaan pelancar Soyuz, mereka telahpun mendapat perhatian beberapa calon pelancong angkasa yang berpotensi termasuklah seorang pengarah filem Hollywood yang terkenal dan seorang jutawan Arab.

Mereka juga membayangkan akan membawa seorang lagi pelancong ke angkasa melalui pelancaran Soyuz pada bulan Oktober tahun ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum