SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Kotak hitam di bas ekspres didakwa tidak berfungsi

KUALA LUMPUR 21 Mei - Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) mendakwa hampir kesemua kotak hitam yang dipasang pada bas ekspres gagal berfungsi dengan sempurna sehingga menimbulkan keraguan berhubung mutu alat tersebut.

Yang Dipertua Pembawa, Zamri Mahmud berkata, kotak hitam itu didapati tidak berfungsi langsung walaupun baru dipasang dan diuji.

``Antara kerosakan yang ketara ialah penggera amaran berbunyi tidak pada had kelajuan yang ditetapkan dan terdapat juga yang tidak berfungsi sejurus sahaja dipasang dalam bas,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Had laju yang telah ditetapkan untuk bas terbabit ialah pada 90 kilometer (km) sejam.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah menghantar laporan mengenai masalah tersebut kepada JPJ, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Kementerian Pengangkutan pada bulan lepas.

Jelasnya, kerosakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kotak itu telah diperkenalkan penggunaannya sejak beberapa tahun lalu.

``Kita berasa dukacita kerana masalah yang sama berterusan sehingga kini walaupun pihak yang bertanggungjawab telah maklum mengenainya,'' katanya.

Dalam pada itu, Zamri turut menafikan kenyataan Pegawai Perhubungan Awam JPJ, Balakrishnan Kandasamy bahawa hanya 100 buah kotak hitam yang rosak daripada lebih 800 buah yang telah dipasang dalam bas-bas terbabit.

Sehingga kini, sejumlah 29 buah syarikat bumiputera dengan 400 buah bas ekspres bernaung di bawah Pembawa.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Dr. Shahar Sidek telah menetapkan tempoh pemasangan kotak hitam berakhir 31 Ogos akan datang.

Lantaran itu, bermula 1 September akan datang, pengusaha bas yang gagal melakukannya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Buat masa ini, Puspakom dan Delcom Services Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai pembekal kotak hitam.

Dalam laporan yang sama, Shahar mendedahkan pihaknya telah mengesan cubaan menggagalkan penggunaan kotak itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihak tersebut telah memotong wayar supaya kotak itu tidak dapat mengesan bacaan kelajuan ketika memandu.

Setakat ini, kata beliau, JPJ tidak akan mengambil apa-apa tindakan mengenainya.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Mewah Sdn. Bhd., Wan Rawi Wan Muda ketika dihubungi menyatakan bahawa kotak hitam yang dipasang pada bas tidak berfungsi.

``Saya percaya, pemasangan kotak hitam akan dipatuhi jika ia benar-benar berfungsi dan menjamin keselamatan bas dan para penumpang,'' katanya yang juga pemilik rangkaian bas ekspres Mewah.

Pemilik bas ekspres Jelita, Mohd. Kaharrudin Salleh turut menyokong kenyataan Wan Rawi itu.

Menurut beliau, antara kerosakan yang ketara ialah tanda amaran had laju pada kotak itu berbunyi pada had kelajuan yang tidak menentu, kadangkala pada kelajuan 85km dan 95km.

``Sedangkan, tanda amaran sepatutnya berbunyi pada kelajuan 90km sejam,'' ujarnya.

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum