SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Perkataan `AL' tidak diguna dalam pasport

PUTRAJAYA 22 Mei - Jabatan Imigresen memutuskan tidak lagi mengeluarkan pasport yang menggunakan nama `AL' (anak lelaki), atau yang seumpamanya bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul di kaunter imigresen luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Aseh Che Mat berkata, perubahan itu dibuat bagi mengelakkan beberapa kekeliruan yang timbul ekoran tanda `AL' itu di kaunter imigresen luar negara kerana pemegangnya seolah-olah datang dari negara Arab.

``Selain itu masalah timbul mengenai tanda palang kerana ia tidak diterima oleh komputer di luar negara,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah khidmat cemerlang Jabatan Imigresen di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Aseh bagaimanapun berkata, pasport yang telah menggunakan nama jenis itu tidak tertakluk kepada perubahan baru, sebaliknya hanya membabitkan permohonan baru.

Menurut beliau, nama `AL' akan hanya dicatatkan pada muka surat `pemerhatian' pada pasport berkenaan.

Sebelum ini perkataan `AL' dalam pasport pintar Malaysia bagi warga berketurunan India yang boleh dibaca mesin (MRP) menimbulkan kekeliruan semasa melalui prosedur imigresen di luar negara.

Dua huruf yang bersambung itu adalah singkatan bagi `anak lelaki' yang dalam pasport MRP tertera sebagai `AL' antara nama pemilik pasport dan nama ayah mereka.

Keadaan menjadi lebih keliru apabila para pegawai imigresen negara luar menganggap mereka berasal dari negara-negara Arab.

Ini kerana perkataan `AL' membawa maksud `yang'.

Pada masa yang sama , tanda `palang' yang biasanya ditempatkan antara huruf A dan L seperti dalam kad pengenalan Malaysia atau lesen memandu, tidak boleh digunakan dalam pasport MRP kerana ia tidak diiktiraf atau diterima oleh komputer di kaunter-kaunter imigresen antarabangsa.

Sementara itu Aseh memberitahu, Jabatan Imigresen kini tidak lagi mengecap pasport pintar yang ditunjukkan oleh pemegangnya semasa pemeriksaan di kaunter jabatan itu di semua pintu masuk negara ini berkuat kuasa 1 Jun ini.

Beliau berkata, peraturan baru itu diperkenalkan bagi memudahkan urusan keluar masuk terutama selepas penggunaan pasport pintar yang kini sudah mencecah lebih dua juta.

``Jabatan Imigresen kini tidak lagi mengecap pasport pintar walaupun mereka melalui kaunter tetapi pemeriksaan tetap akan dibuat melalui prosedur biasa, '' katanya.

Sebelum ini kata beliau, pasport pintar yang diperiksa melalui kaunter biasa akan dicap melainkan pemegangnya melalui pintu automatik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum