SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Pencemaran sungai: JAS tingkat kawalan

PUTRAJAYA 22 Mei - Jabatan Alam Sekitar akan meningkatkan kawalan serta memantau aktiviti perindustrian di pinggiran sungai bagi memastikan kualiti air mencapai tahap kelas dua menjelang tahun 2002.

Ketua Pengarahnya, Rosnani Ibrahim berkata, pengawasan itu termasuk memberi tumpuan terhadap lebih 100 kilang haram yang dipercayai menjadi punca kepada pencemaran sungai di negeri ini.

``Stesen pengawasan air di negeri ini hanya mencapai tahap sederhana cemar dan JAS perlu memastikan bahawa kualiti itu dipertingkatkan dari masa ke semasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sesi dialog program pencegahan pencemaran dan peningkatan kualiti air Sungai Langat dan pelaksanaan projek laporan penilaian alam sekitar (EIA), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah JAS Selangor, Jalaluddin Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong, Datuk Hoh Hee Lee.

Untuk melakukan tugas pengawasan itu beliau memberitahu, pihaknya akan memerlukan lebih banyak tenaga tambahan daripada ibu pejabat JAS dan Selangor iaitu seramai 49 orang kakitangan.

Malah, untuk memantau aktiviti yang dijalankan di Sungai Langat, Rosnani menjelaskan, pihaknya mungkin akan mengadakan pemeriksaan mengejut pada setiap hari bagi memastikan tiada pencemaran yang dilakukan oleh kilang-kilang yang beroperasi di sepanjang sungai itu.

``Kalau biasanya kami hanya melakukan pemeriksaan sebulan sekali, kini pemaju perlu berhati-hati kerana JAS akan bertindak lebih tegas lagi,'' ujarnya.

Beliau berkata, berdasar kajian yang dijalankan, sebanyak 693 pencemaran telah dikenal pasti berpunca daripada kilang-kilang, loji kumbahan, projek-projek EIA dan ternakan khinzir.

Sehubungan itu, pihaknya telah mengambil tindakan dengan memperbanyakkan sesi lawatan ke tempat terbabit.

Katanya, sehingga 18 Mei lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 190 lawatan ke punca-punca yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada pencemaran.

Daripada jumlah itu, sebanyak 89 contoh air rasmi telah diambil dan 55 kompaun dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tambahnya, notis arahan turut dikeluarkan dan empat notis sekatan pencemaran di bawah seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling juga dikeluarkan.

Sementara itu, program yang diadakan pada hari ini merupakan pertemuan pertama JAS bersama 180 pengusaha kilang dan pemaju projek EIA di Lembangan Langat.

Oleh: ROSNIZAH MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum