SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Kecenderungan manusia membangun robot

Oleh: FLORIAN ROTZER
PADA bulan April tahun lalu, ahli sains kognitif, Douglas Hoftstadter mengumpulkan sekumpulan pakar dalam bidang robotik di Universiti Stanford di Palo Alto, California untuk membincangkan persoalan sama ada robot yang berfikir akan mengatasi manusia menjelang tahun 2100.

Sesetengah saintis seperti Ray Kurzweil berkata, tidak lama lagi akan wujud robot yang mempunyai kesedaran. Ia akan wujud hasil daripada peningkatan tenaga perkomputeran.

Saintis robotik, Hans Moravec mengaku bahawa walaupun mustahil untuk mencipta robot yang mempunyai kepandaian seperti seekor ikan kecil, keadaan itu akan berubah dengan peningkatan kuasa pemprosesan.

Beliau percaya dalam masa 30 tahun lagi, evolusi teknologi yang sedang berkembang 10 juta kali lebih cepat daripada alam semula jadi, akan merapatkan jurang antara sistem saraf serangga yang halus yang boleh dicipta menyamai kepandaian manusia hari ini.

Para pengkaji lain tidak begitu pasti. John Holland, seorang perintis dalam bidang hidupan artifisial dan algorisme genetik misalnya, mempersoalkan keyakinan itu kerana masih banyak persoalan yang belum terjawab.

Menurutnya, hal itu juga mengetepikan hakikat bahawa perkembangan perisian tidak selaras dengan Peraturan Moore. Peraturan itu, yang digagaskan oleh Gordon Moore hanya beberapa tahun selepas mikrocip dicipta pada tahun 1958, menyatakan bahawa kapasiti cip, dan seterusnya kekuatan komputer akan meningkat setiap dua tahun.

John Kuza, pencipta program genetik, juga melihat tiada hubung kait langsung antara kuasa pemprosesan komputer dan peningkatan kepandaian.

Bagaimanapun, apabila menyebut tentang pencapaian robot itu, pandangan yang bercampur baur itu telah ada sejak berdekad lamanya. Mereka yang optimis biasanya meramalkan bahawa `pengambilalihan kuasa' oleh robot itu pasti akan berlaku, manakala mereka yang skeptik pula percaya ia akan mengambil jangka masa panjang dan sesetengah peranan otak tidak akan dapat langsung ditiru.

Bagaimanapun, pada akhirnya dijangkakan ia tentu akan mengambil laluan yang sama sekali berbeza kerana perkembangan teknologi tidak pernah dapat diteka.

Keadaan ini sekarang agak mengelirukan kerana bidang robotik menunjukkan banyak kejayaan dan kemajuan. Bagaimanapun, gambaran tradisi robot yang cerdik sebagai satu entiti yang serupa dengan manusia dari segi fizikal dan intelektual sekarang ini sudah semakin kurang. Apatah lagi, bukan saja kerana ada banyak bentuk kecerdasan tetapi juga perbezaan yang ketara dari segi bentuk fizikal.

Namun, apa yang jelas sekarang ialah kecerdasan manusia bergantung kepada otak yang dilengkapi dengan tubuh badan dengan segala macam deria dan anggota. Semua itu terkandung dalam satu dunia yang diterokanya untuk menimba ilmu pengetahuan.

Kehidupan dalam satu kumpulan juga penting kerana sebahagian besar kegiatan kecerdasan yang berdasarkan kepada kecerdasan sosial seperti bahasa, kemampuan untuk memahami orang lain atau pemahaman hubungan sosial yang kompleks.

Bagaimanapun mungkin pada satu hari nanti kita terpaksa menyingkirkan gambaran tentang robot sebagai satu entiti yang sepenuhnya maya. Sebaliknya, masa depan akan bergantung kepada entiti yang bercampur-campur seperti robot yang mempunyai anggota mekanikal dan otak seekor ikan seperti yang ditunjukkan oleh para saintis dari Universiti Genoa, Universiti Northwestern dan Universiti Illinois di Chicago. Dalam hal ini, bukan keseluruhan otak digunakan. Hanya beberapa sel saja yang diambil untuk mengawal robot itu.

Hala tuju perkembangan itu masih belum begitu jelas. Adakah robotik hanya alat untuk manipulasi benda hidup iaitu reka bentuk robot biologi dibantu oleh teknik kejuruteraan genetik? Adakah ia satu hanya satu perantaraan teknologi yang akan memberikan kita gambaran tentang pertembungan antara sistem biologi dan teknologi? Atau adakah sains akhirnya akan berhenti daripada cuba untuk mencontohi biologi, untuk meniru manusia?

Halangan jangka panjang yang lebih besar dalam perkembangan robot dengan bentuk fizikal yang kompleks berbanding masalah `kecerdasan' ialah hakikat bahawa tubuh robot tidak boleh menggunakan otak silikon. Ini kerana ia tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan otak itu. Jelas bahawa gabungan antara perisian dan perkakasan ini adalah `muslihat' inovatif yang ada pada biologi yang memberikannya kelebihan daripada bidang robotik.

Jelas, robot yang terlalu cerdas tidak mungkin akan dapat dicapai. Ini juga sama seperti prototaip yang dibangunkan di MIT, Coq dan Kismet, robot yang mampu belajar, mempunyai pelbagai alat deria, dan berinteraksi dengan sekeliling. Malah ada tanda-tanda bahawa robot yang bebas bergerak akan masuk dalam kehidupan seharian kita seperti robot pembantu rumah atau alat permainan, dan selebihnya, mereka akan diterima oleh manusia terutamanya golongan muda. Akhirnya, akan ada robot yang direka untuk membuat kerja-kerja sebenar seperti memotong rumput atau menyedut sampah tetapi pencerobohan sebenar ialah permainan atau sekurang-kurang yang berperanan begitu.

Dari satu segi, robot boleh menjadi ancaman kepada manusia lama sebelum ia menggantikan kita dan menjadikan kita sebagai haiwan peliharaan mereka - senario yang digambarkan oleh pengkaji robotik, Hans Moravec. Adakah ketika itu kita akan berdepan dengan kehancuran manusia? Keadaan itu adalah sesuatu yang mungkin apatah lagi apabila robot lebih berautonomi.

Kalau robot mampu memulakan proses evolusinya secara replikasi sendiri, bukan saja tindakan mereka itu menjadi sukar diteka tetapi perkembangan mereka juga akan berkembang dengan segera sama seperti evolusi biologi.

Malah kalau trend semasa, yang telah tidak terganggu sejak 1960-an, diteruskan pada masa akan datang dengan bantuan teknologi molekular dan nanoteknologi, adalah satu kesilapan untuk mengandaikan bahawa peningkatan dalam kuasa perkomputeran dan kelajuan pemprosesan akan memberikan kesan kepada peningkatan kecerdasan.

Setakat ini, masih lagi satu ilusi untuk membayangkan bahawa nanoteknologi akan membolehkan nanorobot memasang diri mereka sendiri kalau hanya bahan yang sesuai dan program pencetusnya ada dalam tubuh mereka.

Sehingga sekarang, dalam keadaan terbaik sekalipun, evolusi robot hanya terhad pada tahap perisian.Walaupun `otak' robot telah mencapai tahap boleh belajar pada skel yang kecil hasil rangkaian neural dan algorisme genetik, `evolusi' tubuhnya masih berlaku secara berasingan. Ia masih belum mampu menzahirkan kelahiran bentuk fizikalnya yang baru.

Realitinya, tentulah evolusi autonomi robot itu masih lagi jauh daripada nyata. Tidakkah elok kalau robot boleh berkembang di Bulan dan Marikh, membina koloninya dan manusia boleh berpindah ke sana atau sekurang-kurangnya menyediakan barangan mentah atau siap untuk pasaran di bumi? - Dipetik daripada majalah Deutschland.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum