SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Usaha hasilkan makanan berkualiti berasaskan sumber tempatan

KUALA LUMPUR 29 Mei - Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha mengeluarkan makanan berasaskan sumber tempatan yang selamat dan berkualiti tinggi, kata Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi.

Beliau berkata, pada masa yang sama, pengeluaran makanan itu mampu menampung permintaan rakyat negara ini pada masa akan datang.

Berucap pada perasmian Seminar Antarabangsa Jaminan Keselamatan Makanan Dari Perspektif Islam' di sini, beliau berkata, Malaysia sedang menuju ke arah itu dan rancangan jangka panjang untuk mencapainya sudah dirangka.

Perancangan itu katanya, dirangka sejajar dengan konsep jaminan keselamatan makanan merangkumi tiga aspek iaitu kepada pengeluaran, penggedaran dan penggunaan.

Sebagai contoh katanya, dari aspek pengeluaran, Malaysia kini meningkatkan pengeluaran berasnya iaitu 71 peratus atau kira-kira 2.2 juta tan metrik beras tempatan pada tahun lalu dan dijangka itu meningkat pada lima tahun akan datang,'' katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Abi Musa Asa'ari Mohamed Noor. Turut hadir ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Beliau berkata, hasrat itu dapat dicapai melalui kaedah pembukaan kawasan penanaman berskala besar dan intensif.

Katanya, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras dari empat tan metrik sehektar pada 1995 kepada 5.8 tan metrik pada 2000.

Menurut beliau lagi, semua subsektor pertanian kini mampu meningkatkan pengeluaran masing-masing.

Pengeluaran buah-buahan sebagai contoh dijangka meningkatkan dari 91.3 peratus pada 2000 kepada 98.5 peratus pada 2005.

Pengeluaran sayur-sayuran pula kata beliau dijangka meningkat dari 88.5 peratus tahun lalu kepada 95.6 peratus pada 2005 manakala subsektor perikanan dijangka mampu mengeluarkan hasil dari 89 peratus kepada 90 peratus pada tempoh yang sama.

Sepanjang tempoh itu juga kata beliau, pengeluaran hasil ternakan dijangka meningkat dari 123 peratus kepada 140 peratus.

Effendi berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan dalam kawasan pertanian supaya mutu pengeluaran makanan dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama kos pengeluaran dikurangkan.

``Dalam jangka panjang sekiranya usaha ini berhasil Malaysia mampu mengurangkan import makanan, '' katanya.

Effendi menambah, Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dibentangkan baru-baru ini menyediakan program bersepadu bagi meningkatkan industri pertanian ke arah meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

Rancangan pembangunan jangka panjang itu membuktikan kesungguhan kerajaan meningkatkan sektor pertanian dengan menyediakan peruntukan sehingga RM7.9 bilion atau 701 peratus bagi keseluruhan peruntukan perbelanjaan sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, katanya, satu strategi yang tidak kurang pentingnya dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara komersial ialah melalui pembabitan sektor swasta.

Selain itu, kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa ini diharap dapat dimanfaatkan bagi memberi pengetahuan kepada petani.

Sehubungan itu, katanya, seminar yang diadakan tepat pada masanya bagi membuka satu perspektif baru dalam pengeluaran makanan cara selamat di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum