SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Saintis UKM ...temui kulat `keremajaan'

Oleh MARZITA ABDULLAH
SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui sejenis kulat dari tanah yang dikenali sebagai kulat oleaginus mampu menghasilkan Asid Lemak Poli Tidak Tepu (ALPT) seperti Asid Gamma Linolenik (GLA) yang setanding dengan minyak daripada bunga Evening Primrose.

Selain sebagai makanan tambahan untuk kesihatan dan keremajaan, GLA telah digunakan dalam perawatan pelbagai jenis penyakit seperti ekzema, sindrom premenstrual, arthritis rheumatoid dan skizofrenia.

Kulat oleaginus (sejenis kulat yang berkeupayaan menghasilkan minyak melebihi 20 peratus daripada berat biojisimnya) ditemui di beberapa kawasan seperti Hutan Simpan UKM, Hutan Lipur di Negeri Sembilan dan Bukit Fraser.

Kajian mendalam sejak setahun lalu telah dipelopori oleh penyelidik-penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM iaitu Dr. Aidil Abdul Hamid, Prof. Madya Dr. Wan Mohtar Wan Yusoff dan Dr. Kalaivani Nadarajah dengan kerjasama Dr. Rosli Md. Illias dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Daripada kajian, mereka mendapati kulat itu apabila telah dipencilkan boleh menghasilkan sehingga 20 peratus GLA daripada asid lemak total.

Peratus GLA daripada minyak biji bunga `Evening Primrose' mengandungi hanya 8-10 peratus GLA.

Menurut Dr. Wan Mohtar, untuk mendapatkan hasil sedemikian, kulat berkenaan tidak memerlukan kawasan yang luas seperti bunga Evening Primrose tetapi hanya perlu dibiakkan menggunakan bejana (bekas/bioreaktor).

Prosesnya bermula dengan pemencilan kulat dan pembangunan kultur stok (baka) yang disimpan dengan beberapa kaedah penyimpanan.

``Inokulum (kultur pemula atau benih) berbentuk ampaian spora dihasilkan daripada kulat dengan menggunakan air suling untuk mendapatkan spora pada kepekatan dalam isi padu tertentu,'' katanya.

Inokulum disuntik ke dalam medium tertakrif (larutan yang mengandungi komponen-komponen yang diketahui kepekatannya) dalam bioreaktor.

Kulat akan membiak melalui beberapa fasa pembiakan dan hasil (biojisim kulat) yang dituai pada masa tertentu.

Menurut Dr. Aidil pula, persekitaran dalam bioreaktor seperti suhu operasi, pengudaraan dan goncangan serta nilai keasidan (pH) medium tertakrif yang sesuai turut diteliti untuk mendapatkan kepekatan hasil yang terbaik.

``Selepas empat sehingga enam hari, kulat itu sudah boleh dituai,'' katanya.

Bagi mendapatkan asid lemak total (yang mengandungi GLA), kultur dituras untuk mendapatkan biojisim kulat.

Proses seterusnya ialah penyejukbekuan biojisim kulat yang dilakukan sebelum minyak diekstrak dengan menggunakan pelarut organik seperti klorofom.

``Proses akhir ialah peluwapan pelarut organik untuk mendapatkan minyak,'' jelasnya.

Menurut beliau, daripada kajian itu juga minyak daripada kulat tersebut tidak menghasilkan toksin yang membawa mudarat kepada manusia dan seterusnya tidak menghasilkan gerak balas alergi untuk kebanyakan manusia.

Pada masa ini Malaysia mengimport GLA dari luar negara khususnya produk minyak Evening Primrose (EPO).

Dr. Wan Mohtar berkata, proses pembiakan dan penuaian kulat tersebut untuk mendapatkan GLA tidak membabitkan kos yang tinggi.

Selain penghasilan yang lebih baik, proses ini juga mengambil masa yang singkat dan boleh dilakukan setiap minggu.

``Berlainan dengan penghasilan minyak daripada bunga Evening Primrose yang tidak sesuai ditanam di negara kita setakat ini,'' katanya.

Selain itu, bunga berkenaan memerlukan musim yang sesuai untuk ditanam, kawasan yang luas, tempoh yang lama untuk matang (berbanding tempoh matang kulat) sebelum boleh dituai selain tenaga kerja yang banyak diperlukan untuk menuainya.

Justeru itu, hasil penemuan kumpulan penyelidik berkenaan, mempunyai potensi besar dan mampu dikomersialkan.

Bukan sahaja negara tidak bergantung sepenuhnya dengan pengimportan produk GLA malah usaha sedemikian boleh membuahkan suatu industri bioteknologi watan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum