SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Kualiti perkhidmatan telefon bimbit dijangka lebih baik

PARA pengguna telefon bimbit di negara ini dijangka menikmati kualiti perkhidmatan yang lebih baik berikutan langkah kerajaan mewajibkan semua syarikat telekomunikasi di negara ini mengemukakan laporan setiap tiga bulan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (CMC).

Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Tan Chai Ho berkata, laporan tersebut perlu merangkumi sebarang masalah atau aduan pengguna berhubung mutu perkhidmatan telefon bimbit di negara ini.

``Kerajaan memberi amaran keras akan mengambil tindakan sekiranya mereka gagal berbuat demikian,'' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis menandatangani perjanjian bersama antara iBroadNet.com Sdn Bhd dan Amway (Malaysia) Sdn Bhd di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Tan, langkah tersebut diambil berikutan masih banyak rungutan dan aduan diterima daripada orang ramai berhubung masalah dalam penggunaan telefon bimbit akhir-akhir ini.

Katanya, dengan adanya laporan seperti itu, mutu perkhidmatan telefon bimbit di negara ini dapat dipertingkatkan.

Ini termasuk mutu penyambungan talian, hal-hal berhubung penyata bil dan penggunaan peralatan komunikasi yang telah lama.

Jelasnya, pada bulan Mac lepas, CMC telah melantik sebuah syarikat perunding tempatan melakukan siasatan dan kajian bagi mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh para pengguna telefon mudah alih.

``Laporan siasatan ini telah siap dan kita akan adakan perbincangan dengan pengusaha telefon bimbit pertengahan tahun ini bagi memastikan masalah ini dapat diatasi segera,'' ujarnya.

Disamping itu, katanya, pembekal perkhidmatan telefon bimbit juga perlu menjalankan kaji selidik tentang pendapat dan cadangan yang dikemukakan oleh pelanggan pada setiap tahun.

Laporan berhubung kaji selidik ini kemudiannya perlu dikemukakan kepada CMC.

Menurut beliau, dengan cara itu, CMC bukan sahaja dapat memahami masalah sebenar berhubung penggunaan telefon bimbit malah dapat memastikan setiap aduan pelanggan akan dilayan.

``Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan akan diambil di bawah syarat-syarat yang telah diperuntukkan dalam Akta Komunikasi Multimedia 1998,'' tegasnya.

Beliau menambah, pihak CMC juga boleh memperketatkan syarat-syarat berhubung lesen yang dikeluarkan kepada para pengendali telefon mudah alih dari semasa ke semasa sekiranya dirasakan perlu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum