SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

Penggunaan Internet bergantung aplikasi baru

KUALA LUMPUR 4 Jun - Penggunaan meluas Internet bergerak mempunyai potensi tanpa had untuk mengubah perniagaan tetapi kejayaannya bergantung kepada kemajuan aplikasi baru yang direka bertepatan masa dalam keunikan karakter persekitaran bergerak.

Menurut laporan tahunan PricewaterhouseCopper (PwC) yang ke-12 dalam Technology Forecast di sini hari ini, Eropah dan Asia merupakan rantau utama yang memesatkan rangkaian tanpa wayar dan mengalami pengalaman meluas pada awal aplikasi Internet bergerak.

Amerika Syarikat ketinggalan di belakang negara lain dalam menerapkan teknologi Internet bergerak oleh pengguna dan perniagaan.

Pengarah Urusan PwC Malaysia, Chin Kwai Fatt berkata, untuk pasaran tempatan bersaing dengan berkesan, ia perlu membangun selari dengan aliran sejagat memandangkan terdapat bilangan pemain yang lebih besar di dalam dan di luar negara.

Beliau berkata, pelanggan semakin meningkat pengetahuannya tentang industri dan mengharapkan sesuatu yang baik.

Chin berkata, para pengendali telefon bergerak perlu memajukan aplikasi baru dan mewujudkan hubungan baru untuk memenuhi keperluan yang berbeza dan mahukan pelanggan mereka kekal bersaing.

Beliau menambah, PwC yakin Malaysia menempatkan dirinya dalam keadaan yang kukuh untuk menghadapi cabaran-cabaran ini.

Chin menambah, mereka yang telah lama dalam perniagaan perlu memikirkan semula strategi manakala pendatang baru perlu mencari formula dan bukannya bergantung kepada apa yang telah digunakan sebelumnya.

Katanya, aliran yang ditunjukkan di negara ini menyamai yang ditunjukkan oleh Forecast iaitu bilangan mereka yang memiliki telefon bergerak jauh lebih besar daripada mereka yang memiliki komputer peribadi dan dijangka lebih ketara dalam beberapa tahun akan datang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum