SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 06 Jun 2001

Pesakit luar negara tumpu ke Malaysia

SINGAPURA 5 Jun - Lebih ramai rakyat asing terutama Indonesia yang mendapatkan rawatan kesihatan di Singapura kini beralih ke Malaysia yang menawarkan kos rawatan yang lebih murah.

Laporan Straits Times menyebut bahawa doktor swasta di Singapura kehilangan pesakit warga asing dengan perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan bilangan warga asing yang mendapatkan rawatan di sini menurun hampir satu perempat kepada 12,746 pesakit tahun lepas berbanding 16,418 pada 1997.

Laporan itu memetik para doktor di kedua-dua belah Tambak Johor sebagai berkata bahawa kos rawatan kesihatan di Malaysia adalah antara 50 dan 70 peratus lebih murah berbanding Singapura.

Laporan itu menyebut bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan peningkatan mendadak kedatangan pesakit warga asing, kebanyakannya di Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, sejak kerajaan mula mempromosikan pelancongan kesihatan pada 1998 semasa krisis ekonomi Asia.

Jumlah pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di 13 hospital swasta di Malaysia meningkat sekali ganda kepada 77,000 pada 1999 daripada 33,000 pada tahun sebelumnya.

"Ringgit yang lemah dan kos yang rendah menjadikan rawatan kesihatan swasta di Malaysia lebih murah daripada Singapura," kata ketua pegawai eksekutif Health Management International (HMI) Singapura, Alan Neoh dipetik sebagai berkata.

HMI mengendalikan Pusat Perubatan Mahkota Melaka.

Pengarah Pusat Perubatan Mahkota Keith Dry memberitahu Straits Times: "Kami didatangi kira-kira 2,000 pesakit warga asing sebulan. Lapan daripada 10 pesakit datang dari Sumatera dan kawasan lain di Indonesia. Selebihnya adalah dari negara seperti Thailand, Brunei dan India."

Dry berkata, penduduk kelas menengah Indonesia kini lebih berhemat dalam perbelanjaan perubatan mereka ekoran masalah politik dan ekonomi di negara berkenaan.

Lily Chua, seorang pesakit warga Indonesia dari Pulau Batam berkata beliau kerap menggunakan perjalanan singkat dengan feri ke Singapura untuk mendapat rawatan tetapi sejak kebelakangan ini, beliau mengambil masa enam jam perjalanan dengan feri dan kereta ke Melaka untuk rawatan kanser usus.

Pengerusi Eksekutif Raffles Medical Group Loo Choon Yong, bagaimanapun, yakin bahawa pasaran serantau adalah cukup luas bagi mengekalkan hospital swasta Singapura selagi mereka menyediakan rawatan berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum