SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 06 Jun 2001

Vaksin thiomerasal: Bahagian Farmasi diarah buat kajian

KUALA LUMPUR 5 Mei - Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan diarah membuat kajian lanjut ke atas vaksin Thiomersal yang mengandungi bahan awet raksa kerana didakwa boleh membahayakan bayi baru lahir.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed berkata, pihak farmasi telah diberi arahan supaya mengkaji sama ada kandungan Thiomersal dalam vaksin tersebut benar-benar berbahaya.

``Buat masa ini kami sedang menunggu laporan penuh daripada pihak farmasi dan sebarang keputusan yang menyatakan sama ada vaksin tersebut berbahaya atau tidak hanya boleh dibuat selepas mendapat laporan penuh mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan di sini hari ini.

Tambahnya, sehingga ini Kementerian Kesihatan tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut selagi laporan penuh daripada farmasi tidak diperoleh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan hari ini yang menyiarkan kenyataan Penasihat Kebangsaan DAP, Dr. Chen Man Hien yang meminta Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan vaksin mengandungi Thiomersal di hospital-hospital dan pusat-pusat perubatan swasta.

Vaksin berkenaan diberikan kepada setiap bayi yang baru lahir bagi melindungi mereka daripada penyakit polio, demam campak, difteria, rubela, kancing gigi dan hepatitis didakwa mengandungi bahan awet raksa dan boleh mengakibatkan bayi mengalami masalah saraf.

Berdasarkan laporan akhbar The London Times pada 28 Mei lalu, beberapa ahli sains berpendapat bahan awet raksa yang terdapat dalam kebanyakan vaksin boleh menyebabkan masalah autisme iaitu tingkah laku ganas, tidak mampu untuk berkomunikasi dan berinteraksi.

Ekoran itu, beberapa negara mula mengorak langkah untuk mengharamkan vaksin yang mengandungi bahan awet raksa itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum