SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 15 Jun 2001

NCWO sokong guna Implanon

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pertubuhan-Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) hari ini mengalu-alukan kaedah baru merancang keluarga Implanon yang diperkenalkan di Malaysia.

Naib Presiden NCWO, Ramani Gurusami berkata, Implanon akan lebih diyakini dengan adanya data-data berdasarkan penggunaan wanita Malaysia sendiri.

``Walaupun kaedah itu disahkan berkesan serta telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, namun kajian seperti ini amat penting dalam tujuan pengumpulan data.

``Ini kerana maklumat yang diperoleh lebih tepat berbanding maklumat-maklumat hasil kajian yang dijalankan di negara-negara lain,'' katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang peluang wanita Malaysia untuk menggunakan kaedah merancang keluarga yang selamat dan berkesan apabila LPPKN memperkenalkan kaedah terbaru yang dikenali sebagai Implanon.

Serentak dengan itu, Malaysia turut terpilih sebagai negara Asia pertama yang akan menjalankan kajian antarabangsa bagi menguji keberkesanan serta pengumpulan data.

Implanon adalah kaedah pacakan hormon progesteron yang ditanam di bawah kulit lengan wanita mampu berfungsi menghalang kehamilan dalam tempoh 24 jam selepas ia ditanam.

Menurut Pakar Perancang Keluarga LPPKN, Dr. Lai Poon Fook, hasil kajian yang dijalankan di luar negara, kaedah ini terbukti berkesan menjarakkan kehamilan dalam jangka masa tiga tahun.

``Kaedah kontraseptif ini menggunakan sejenis alat yang diperbuat daripada polimer bukan silikon sebesar batang mancis yang dikenali sebagai ethylenevinylacetate.

``Ia akan bertindak menghalang proses pengeluaran telur wanita (ovulasi),'' katanya pada Bengkel Media Implanon di sini, semalam.

Menurut Dr. Lai, alat yang mengandungi 68 miligram hormon progesteron yang ditanam di bawah lapisan kulit ini secara puratanya akan mengeluarkan 40 mikrogram hormon progesteron setiap hari bagi menghalang kehamilan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum