SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 16 Jun 2001

Gunakan kemudahan tunai elektronik dalam urus niaga - TPM


ABDULLAH Ahmad Badawi memperkatakan sesuatu mengenai pembangunan Putrajaya selepas merasmikan Kawasan Perdagangan Putrajaya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 15 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta pengusaha perniagaan melengkapkan perniagaan mereka dengan alat penerima bayaran tunai elektronik ke arah membentuk `masyarakat tanpa tunai'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan dan sektor perbankan telah memulakan usaha menyediakan kemudahan tersebut dan ia perlu disambut oleh peniaga dengan menyediakan peranti yang diperlukan.

``Pengenalan aplikasi tunai elektronik dalam kad pelbagai guna kerajaan dan kad bayaran lain yang menggunakan cip dan pemproses mikro adalah satu usaha ke arah masyarakat tanpa tunai.

``Saya berharap negara dapat menerima teknologi itu dan menggunakan tunai elektronik secara meluas dalam pelbagai sektor terutama pengangkutan, telekomunikasi dan komersial seperti kedai dan restoran,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Kawasan Perdagangan Putrajaya dan pelancaran portal Putrajaya, i-putra.com di sini hari ini.

Abdullah berkata, pada masa yang sama, pengguna juga perlu mengubah minda mereka dengan menerima kaedah pembayaran elektronik itu sebagai satu cara membuat bayaran.

``Hanya dengan itu, barulah penggunaan tunai elektronik dapat diperluaskan dalam lebih banyak sektor dan diterima sebagai pengganti wang tunai.

Mengenai Kawasan Perdagangan Putrajaya, Abdullah berkata, kawasan tersebut adalah komponen yang kritikal dalam pembangunan Putrajaya kerana ia adalah `darah' kepada projek negara.

Katanya, Putrajaya diwujudkan bukan semata-mata untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan tetapi lebih merupakan satu warisan baru negara.

``Kita membina bandar raya dalam taman dan cuba untuk mengembalikan dan menerapkan semangat komuniti tradisional.

``Di Putrajaya, akan ada gaya kehidupan malam yang dinamik sama seperti gaya kehidupan di siang harinya, kesemuanya dalam tradisi Malaysia,'' katanya.

Justeru itu, kata Abdullah, banyak kelebihan untuk berniaga di Putrajaya kerana pasarannya bukan hanya terhad di kalangan penduduknya tetapi juga pelawat dan pelancong yang mengunjunginya sepanjang tahun.

Katanya, kerajaan melihat Putrajaya sebagai pemangkin yang akan turut memberikan manfaat kepada kawasan di sekelilingnya - Kuala Lumpur di utara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di selatan yang akan membentuk koridor pertumbuhan baru.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum