SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 17 Jun 2001

JPN keluarkan 229,000 KPPK, KPTC

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sebanyak 229,000 Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) dan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi Cip (KPTC) telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini.

Pegawai Perhubungan Awam JPN, Nur Ashikin Othman berkata daripada tersebut sebanyak 210,000 adalah KPTC manakala selebihnya KPPK.

Katanya, JPN menjangkakan 600,000 kad akan dikeluarkan sehingga Disember ini dan setakat ini JPN berpuas hati dengan sambutan yang diterima.

``Jumlah tersebut adalah menggalakkan memandangkan penukaran kad pengenalan bermutu tinggi (KPT) kepada KPPK atau KPTC tidak diwajibkan kepada orang ramai,'' katanya di sini hari ini.

Mengenai tempoh pengeluaran kedua-dua kad tersebut, beliau berkata, ia mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

Beliau tidak menafikan terdapat beberapa kes berlakunya masalah teknikal yang menyebabkan kad-kad itu lambat dikeluarkan.

``Saya berharap orang ramai memahami keadaan kita dan JPN sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa,'' ujarnya.

KPPK dan KPTC yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi April lalu merupakan salah satu projek daripada tujuh aplikasi perdana di bawah Koridor Raya Multimedia.

KPPK memuatkan empat aplikasi kerajaan iaitu kad pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport dan kesihatan serta beberapa aplikasi pilihan seperti MEPS-Tunai dan prasarana kekunci awam.

Sebagai permulaan KPPK itu dikeluarkan di Lembah Klang, akan menggantikan KPT dan lesen memandu yang sedia ada.

Bagi kawasan luar Lembah Klang, kerajaan telah melaksanakan KPTC yang hanya memuatkan satu aplikasi sahaja iaitu kad pengenalan.

KPTC pula boleh ditingkatkan untuk memuatkan aplikasi-aplikasi lain seperti KPPK apabila prasarana berkaitan dapat disiapkan pada pelaksanaan peringkat nasional pada 2003.

Bagaimanapun, pelaksanaan kad-kad itu akan dibuat secara sukarela dan tidak diwajibkan seperti proses penukaran kad pengenalan bermutu tinggi pada 1990-an.

Bagaimanapun, orang ramai perlu menukar kad pengenalan kepada KPPK atau KPTC jika timbul keperluan seperti kehilangan, kerosakan dan permohonan pertama kali pada usia 12 tahun.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah menetapkan kadar bayaran KPPK sebanyak RM20 dan KPTC sebanyak RM10.

Kos sebenarnya ialah RM33 dan kerajaan menanggung subsidi RM13.

Kejayaan pelaksanaan itu juga, telah menarik perhatian kerajaan Singapura untuk mempelajari pengalaman Malaysia bagi membangunkan sistem KPPK yang serupa di negara itu.

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum