SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 17 Jun 2001

Fenomena astronomi bulan Jun

BULAN Jun 2001 mengandungi banyak fenomena yang penting dalam bidang astronomi. Fenomena-fenomena itu adalah pertemuan lingkaran asteroid yang pertama di luar sistem suria, kedudukan planet marikh paling hampir dengan bumi dalam tempoh 10 tahun dan gerhana matahari penuh yang boleh dilihat dari selatan Afrika.

Baru-baru ini, sekumpulan ahli astronomi Universiti California Los Angeles (UCLA) Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka telah menemui lingkaran asteroid yang pertama di luar sistem suria.

Pengumuman itu dibuat pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika di Pasadena, California pada 4 Jun 2001.

Lingkaran asteroid ditemui di sekeliling bintang zeta leporis, iaitu sebuah bintang yang terletak kira-kira 70 tahun cahaya dari bumi. Bintang ini berusia kira-kira 100 juta tahun, mempunyai dua kali ganda jisim matahari dan 20 kali ganda lebih cerah daripada matahari.

Lingkaran asteroid itu didapati mempunyai diameter berukuran 12.2 unit astronomi atau 1.8 bilion kilometer. Sekiranya lingkaran asteroid itu terletak di dalam sistem suria ia akan menjangkau sehingga 1 unit astronomi atau 150 juta kilometer melepasi planet musytari. Satu unit astronomi bersamaan dengan jarak di antara bumi dan matahari.

Lingkaran asteroid itu juga didapati mempunyai suhu purata 70 darjah Celsius yang merupakan suhu purata yang tinggi bagi lingkaran asteroid.

Ini menunjukkan bahawa lingkaran asteroid itu berada hampir dengan bintang sehingga pada jarak 2.5 unit astronomi atau 375 juta kilometer.

Lingkaran asteroid tersebut mula dikesan pada tahun 1983 oleh Satelit Inframerah Astronomi atau IRAS (Infrared Astronomy Satellite). Bagaimanapun, kewujudan struktur itu hanya dapat disahkan apabila kumpulan ahli astronomi UCLA menganalisisnya menggunakan spektrometer gelombang panjang (long wavelength spectrometer) iaitu sejenis alat pengesan inframerah yang dipasang pada teleskop kembar 10 meter di Balaicerap Keck, California.

Asteroid berbeza daripada planet kerana saiznya lebih kecil dan tidak mempunyai bentuk yang sekata atau simetrik. Sebuah lingkaran asteroid mungkin mengandungi berjuta-juta asteroid.

Di sistem suria, lingkaran asteroid terletak di antara orbit planet marikh dan planet zuhal. Penemuan lingkaran asteroid di sekeliling bintang zeta leporis membuktikan bahawa terdapat sistem bintang lain yang menyerupai sistem suria dari segi kandungannya termasuk planet dan asteroid.

Penemuan lingkaran asteroid itu amat penting kerana ia memberikan maklumat berkenaan evolusi sistem bintang.

Pada 21 Jun ini pula, suatu fenomena astronomi yang unik akan berlaku. Pada tarikh itu, planet marikh akan berada pada jarak 68 juta kilometer dari bumi. Jarak itu merupakan jarak paling hampir planet marikh dengan bumi dalam tempoh 10 tahun.

Bumi berada tepat di antara marikh dan matahari pada 13 Jun 2001, tetapi oleh kerana bentuk orbit marikh dan bumi berbentuk elps (bujur) maka jarak paling pendek di antara dua planet ini berlaku pada 21 Jun 2001.

Pada ketika itu dan sepanjang bulan Jun 2001, marikh akan jelas kelihatan sebagai sebuah planet cerah berwarna merah pada setiap malam.

Prob NASA terkini yang meneroka marikh, Mars Odyssey 2001 telah dilancarkan pada 7 April tahun ini. Prob itu akan sampai ke orbit marikh pada 25 Oktober dan akan menjalankan misi penyelidikan selama dua setengah tahun.

Sepanjang misinya, prob itu akan mengumpulkan data berkenaan radiasi dari angkasa, mengkaji kewujudan air di bawah permukaan marikh dan mineral di permukaan marikh.

Marikh akan berada berhampiran dengan bumi sekali lagi pada 28 Ogos 2003 iaitu pada jarak 56 juta kilometer, jarak yang paling hampir dalam tempoh 80 tahun.

NASA (Agensi Angkasa Amerika Syarikat) dan ESA (Agensi Angkasa Eropah) akan menghantar prob robotik melalui Misi Ekspres Marikh 2003 yang telah pun dirancang.

Prob robotik yang akan dihantar ke marikh pada tahun 2003 nanti akan mendapatkan data berkenaan geologi, atmosfera dan persekitaran marikh. Maklumat ini amat penting untuk aktiviti pendaratan dan pengkolonian marikh oleh manusia kelak.

Tarikh seterusnya bila marikh akan paling hampir dengan bumi ialah pada tahun 2017. Pada ketika itu, jarak marikh dari bumi adalah di antara 55 hingga 60 juta kilometer sahaja. Pada tarikh ini kemungkinan besar misi pendaratan manusia ke marikh akan dilakukan.

Malam 21 Jun 2001 ini merupakan masa paling baik untuk pencerapan dan rakaman gambar planet marikh. Pencerap boleh melihat permukaan marikh termasuk lapisan ais di bahagian kutubnya dengan menggunakan teleskop amatur bersaiz sederhana. Jurugambar juga boleh merakam gambar marikh yang jelas dengan menggunakan kamera zoom.

Lokasi marikh berlatarbelakangkan langit malam pada bulan Jun amat menarik. Marikh akan kelihatan betul-betul di hadapan dan di tengah galaksi Bima Sakti. Ini bermakna, dalam keadaan cuaca yang amat baik dan persekitaran yang cukup gelap, pemerhati atau pencerap planet marikh juga berpeluang melihat pusat galaksi Bima Sakti di mana terletaknya sebuah lohong hitam (black hole) gergasi.

Suatu lagi fenomena astronomi utama juga akan berlaku pada 21 Jun. Fenomena itu ialah gerhana matahari penuh yang akan dapat dilihat dari selatan Afrika. Fenomena ini dapat dilihat bermula ketika matahari terbit di Lautan Atlantik Selatan melintasi Angola, Zambia, Zimbabwe, Mozambique, Madagascar dan berakhir ketika matahari tenggelam di Lautan Hindi. Tempoh maksimum gerhana matahari itu ialah 4 minit 57 saat.

Bandar Nyapanda yang terletak di sempadan Zimbabwe dan Mozambique mengalami gerhana penuh 100 peratus selama 3 minit 16 saat. Kebanyakan kawasan limbungan Zambezi juga akan menerima kesan 100 peratus gerhana. Bandar-bandar utama di Afrika Selatan juga akan mengalami kesan gerhana termasuk Johannesburg, Durban dan Cape Town.

Fenomena gerhana matahari penuh bukanlah perkara yang unik. Ia berlaku hampir setiap tahun, tetapi hanya boleh dilihat dari lokasi yang berbeza. Sungguhpun ia bukan fenomena astronomi yang unik, ia amat penting kepada penyelidikan astronomi, terutamanya fizik suria.

Ketika berlaku gerhana matahari penuh, beberapa fenomena berkenaan matahari dapat dirakamkan dan dikaji. Fenomena-fenomena ini tidak dapat dirakam dan dikaji dalam keadaan matahari biasa. Salah satu fenomena yang penting ialah korona, iaitu struktur yang kelihatan berbentuk cincin di sekeliling matahari. Kajian ke atas korona ini dapat memberikan maklumat berkenaan nyalaan suria dan prominens.

Nyalaan suria adalah pancaran partikel pelbagai frekuensi atau tenaga. Partikel bertenaga tinggi sampai ke bumi dari matahari dalam tempoh 30 minit sahaja dan amat berbahaya kepada angkasawan yang tidak dilengkapkan dengan pakaian perlindungan khas. Partikel bertenaga rendah pula sampai ke bumi dalam tempoh 6 hingga 24 jam.

Prominens pula adalah fenomena berbentuk gegelang yang bermula dan berakhir di permukaan matahari. Gegelang ini sebenarnya merupakan aliran gas kromosfera (chromosphere) matahari, iaitu lapisan gas pada permukaan paling luar matahari. Corak prominens ditentukan oleh medan magnet di permukaan matahari.

Maklumat berkenaan nyalaan suria dan prominens merupakan antara maklumat yang penting dalam kajian fizik suria. Kajian ke atas matahari pula amat penting kerana matahari adalah spesimen sebuah bintang yang merupakan sumber tenaga dan bahan binaan planet dan objek-objek angkasa yang lain.

Ketiga-tiga fenomena astronomi yang berlaku pada bulan Jun ini - penemuan lingkaran asteroid di zeta leporis, kedudukan marikh dan gerhana matahari - penting kepada perkembangan bidang astronomi.

Penemuan lingkaran asteroid di bintang zeta leporis amat penting kepada kajian evolusi sistem bintang. Kedudukan marikh berhampiran bumi pula mempercepatkan kajian ke atas planet marikh.

Bagi ahli-ahli astronomi amatur di Malaysia, fenomena yang paling menarik ialah kedudukan planet marikh berhampiran bumi yang dapat dilihat dengan mata kasar sepanjang bulan Jun ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum