SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 25 April 2001

Waspada risiko radiasi telefon bimbit

SATU laporan Reuters dari Philadelphia, Amerika Syarikat minggu lalu menyatakan bahawa satu class action (tindakan mahkamah oleh seorang plaintif bagi pihak sekumpulan plaintif yang ramai) telah difailkan di mahkamah terhadap syarikat pembuat dan pembekal telefon bimbit di negara itu.

Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada Jumaat, 20 April lalu itu, plaintif mendakwa bahawa bahang radiasi dari telefon bimbit yang digunakan oleh plaintif mendatangkan bahaya (menyebabkan mudarat) kepada kesihatan, termasuklah pelbagai infeksi (kesan paling ringan) dan kerosakan otak (kesan yang lebih teruk).

Dalam pernyataan tuntutan setebal 58 muka surat yang difailkan di mahkamah negeri Maryland di Baltimore, plaintif mendakwa bahawa pembuat dan pembekal telefon bimbit di negara itu tahu bahawa produk mereka ada mengeluarkan gelombang mikro radiasi di tahap yang tidak selamat bagi pengguna, tetapi sengaja tidak mendedahkan fakta itu kepada pengguna.

Sehubungan itu, satu lagi tuntutan yang serupa difailkan oleh plaintif lain di New York pada hari Khamis sebelumnya.

Antara syarikat yang disebutkan sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah itu adalah Motorola Inc., Nokia Corp., Verizon Communications dan Sprint PCS. Sehingga hujung minggu lalu, defendan tersebut enggan mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung tindakan mahkamah ini, selain mengatakan bahawa kes itu sedang diteliti oleh peguam masing-masing.

Jurucakap Verizon Communications, Nancy Stark, bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa standard keselamatan telefon bimbit ada ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan dan Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) dan syarikatnya telah lama mematuhi standard tersebut.

Nancy menambah bahawa berasaskan kajian dan data sainstifik, FDA telah menyatakan bahawa telefon bimbit yang dipasarkan oleh syarikatnya tidak mendatangkan apa-apa risiko kepada kesihatan pengguna.

ASAS TUNTUTAN

Dalam tuntutannya, plaintif mendakwa bahawa cara biasa telefon bimbit digunakan (yang menghendaki pengguna meletakkannya rapat ke telinga) mendedahkan otak seorang itu kepada radiasi gelombang mikro yang boleh merosakkan DNA, menjejaskan fungsi sel dan aktiviti asas otak.

Dalam tuntutan mereka, plaintif tidak menuntut ganti rugi am kerana mudarat sebenar yang ditanggung (boleh jadi kerana kesukaran mengemukakan bukti mengenainya). Sebaliknya, plaintif menuntut wang pampasan untuk membeli peralatan telefon yang lebih selamat (tidak menimbulkan risiko), serta ganti rugi punitive (menghukum) yang akan ditaksirkan oleh juri.

INDUSTRI TELEFON BIMBIT

Industri telefon bimbit di Amerika Syarikat dianggarkan bernilai AS$53 bilion, manakala penggunanya dianggarkan berjumlah 113 juta orang, iaitu kira-kira kurang sedikit dari satu perlima pengguna seluruh dunia, yang dianggarkan (pada awal tahun 2001) berjumlah 625 juta orang. Pada setiap hari, lebih 30,000 pengguna baru telefon bimbit didaftarkan di Amerika.

Setakat ini, lebih sedozen tuntutan mahkamah telah difailkan oleh beberapa kumpulan plaintif terhadap industri ini. Boleh dikatakan semuanya gagal, baik yang difailkan di Amerika Syarikat mahupun di negara lain (seperti di China). Kebanyakan tuntutan itu ditolak di peringkat awal. Belum ada yang sampai hingga ke peringkat perbicaraan di hadapan mahkamah.

Dalam kes terbaru minggu lalu ini, ia difailkan oleh seorang peguam bernama Peter Angelos, yang banyak pengalaman mengendalikan kes serupa ini terhadap syarikat-syarikat rokok dan asbestos di Amerika dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada Januari lalu, Angelos mewakili seorang pakar neurologis dari Baltimore dalam tindakan mahkamahnya, di mana pakar itu mendakwa telefon bimbitnya telah mengakibatkan ketumbuhan pada otaknya.

Akhbar tempatan, Baltimore Sun, dalam satu laporannya berhubung kes yang difailkan ini, menyarankan pengguna telefon bimbit di negeri itu untuk sentiasa memakai alat telinga apabila menggunakan telefon bimbit.

Akhbar itu selanjutnya memetik Angelos sebagai berkata bahawa kaedah `lebih selamat' menggunakan alat telinga ini dengan sendirinya menunjukkan ada bahayanya menggunakan telefon bimbit tanpa alat telinga.

KAJIAN TERDAHULU

Mengikut kajian yang sebelum ini dijalankan oleh New England Journal of Medicine dan Persatuan Perubatan Amerika (AMA) tiada terdapat apa-apa bukti kukuh bahawa penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan ketumbuhan dalam otak kepada penggunanya.

Tetap bertahan

Namun begitu, Angelos tetap bertahan dengan dakwaannya bahawa risiko radiasi (RFR) dari penggunaan telefon bimbit sudah diketahui oleh ahli sains sejak pertengahan tahun 1960-an.

Kata Angelos lagi, kajian sains sudah lama membuktikan bahawa antenna yang dipakai pada telefon bimbit itu boleh mendeposit atau menyampaikan radiasi (RFR) pada badan manusia, boleh menembusi tisu manusia, apatah lagi menembusi otak manusia yang sudah pasti organ manusia paling lembut dan paling sensitif.

Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan olehnya itu, Angelos menekankan bahawa kesemua defendan tahu tentang penemuan sains ini tetapi mereka sengaja `menyembunyikannya, meremehkan kesahihannya dan berusaha terus menolaknya' supaya mereka boleh terus berleluasa menjual dan mendagangkan produk mereka kepada pengguna, tanpa terikat kepada (mematuhi) standard keselamatan yang sewajarnya.

Satu laporan CNN Julai 2000 lalu memetik FDA sebagai berkata bahawa kajian mengenai risiko radiasi telefon bimbit di negara itu masih belum muktamad. Manakala ada kajian yang mengatakan ada bahaya, ada pula kajian lain yang menafikannya.

Oleh itu, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan. Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, FDA menyarankan pengguna telefon bimbit untuk sentiasa menggunakan alat telinga bila menggunakan telefon.

FDA juga menasihatkan pengguna supaya menggunakan telefon bimbit untuk jangka waktu yang pendek sahaja. Andainya mereka berhasrat berbual atau berbincang panjang, gunakan telefon biasa dan jangan gunakan telefon bimbit.

MENGUKUR KADAR RADIASI

Mengikut Persatuan Industri Telekomunikasi Selular, satu cara menentukan sama ada radiasi yang dipancarkan oleh sebuah telefon bimbit itu sampai ke paras bahaya ataupun sebaliknya ialah dengan mengesan dan menentukan kadar penembusan radiasi itu (dipanggil specific absorption rate, SAR) kepada badan manusia.

Mengikut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), kadar SAR paling maksimum yang dibenarkan ialah 1.6W/kg (1.6 watt bagi setiap satu kilogram). Jika sebuah telefon bimbit itu mengeluarkan kadar radiasi yang lebih tinggi daripada kadar tersebut, ia tidak lagi dikira selamat kerana kadar radiasi yang lebih tinggi itu boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.

Mengikut satu carta yang disediakan dalam sebuah laman web tajaan CNET, 10 jenis telefon bimbit di Amerika Syarikat yang dianggap hampir ke tahap merbahaya (tapi masih lagi di bawah paras maksimum yang ditetapkan oleh FCC) adalah seperti berikut -

(a) Ericsson T28 World - kadar SAR 1.49

(b) Nokia 5170i - kadar SAR 1.49

(c) Nokia Digital 5160 - kadar SAR 1.45

(d) Nokia 5170 - kadar SAR 1.45

(e) Denso TP 2200 - kadar SAR 1.44

(f) Samsung Uproar - kadar SAR 1.437

(g) Nokia 6162 - kadar SAR 1.42

(h) Nokia 6185i - kadar SAR 1.41

(i) Qualcomm QCP - 1960 - kadar SAR 1.41

(j) Kyocera QCP-6035 - kadar SAR 1.41

Alangkah baik sekali jika Kementerian Komunikasi dan Multimedia negara kita ini juga dapat mengeluarkan maklumat terperinci tentang kadar radiasi yang dipancarkan oleh beberapa jenis telefon bimbit yang ada dipasarkan di negara ini.

Dengan maklumat itu, kita boleh tahu apakah telefon bimbit yang kita miliki sekarang ini masih berada di bawah paras bahaya yang dinyatakan oleh FCC itu atau sebaliknya.

Sementara kita menunggu data sedemikian itu diumumkan oleh kerajaan kita, wajarlah sebagai langkah awalan kita gunakan alat telinga setiap kali kita berbual panjang menerusi telefon bimbit.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum