SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 24 Jun 2001

Evo revolusi trend PC mendatang

Oleh Mohd. Ridzwan Md. Iman
COMPAQ, merupakan satu nama yang tidak asing lagi di kalangan pengguna komputer di seluruh dunia sama ada komputer kegunaan pejabat, sekolah atau di rumah.

Syarikat tersebut juga merupakan antara syarikat yang sentiasa mengorak langkah ke hadapan dalam menghasilkan komputer yang mudah, berkuasa dan juga boleh digunakan dalam pelbagai keadaan.

Komputer dan PC poket iPAQ misalnya merupakan produk yang mendapat sambutan ramai kerana kelainannya dan kini Compaq telah memperkenalkan komputer-komputer Evo yang akan mencorak gaya dan kuasa komputer masa depan.

Sempena pelancaran Evo di Kuala Lumpur baru-baru ini, Compaq telah mempamerkan kepada media komputer desktop konsep yang mempunyai ciri-ciri komputer notebook yang masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Komputer serba guna yang boleh dilipat-lipat itu sesuai untuk kegunaan di pejabat/rumah atau ketika pengguna bertugas di luar.

Produk hibrid atau perkahwinan dua jenis komputer terkenal itu dibangunkan hasil daripada maklum balas pengguna yang inginkan sebuah komputer yang boleh digunakan di mana-mana.

Komputer ini mampu menukarkan komputer notebook kepada komputer desktop dengan mempunyai skrin rata dengan mempunyai papan kekunci dan tetikus secara wayarles.

Menurut jurucakap Compaq, konsep produk tersebut dijangka mendapat sambutan apabila ia sesuai untuk dipasarkan kelak kerana pengguna tidak perlu lagi mempunyai dua komputer untuk dua kegunaan.

``Compaq akan sentiasa memastikan yang pelanggannya mendapat produk terbaik dengan ciri-ciri masa depan dengan menjalankan aktiviti R&D yang berterusan,'' katanya.

Antara produk Compaq yang mendapat sambutan menggalakkan di seluruh dunia selepas pengenalannya sebelum ini ialah PC poket iPAQ yang merupakan komputer telapak dengan skrin berwarna.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum