SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 28 Jun 2001

Melayu corot pemilikan PC, Internet terendah

Oleh: MOHD. RIDZWAN MD. IMAN
MASYARAKAT Melayu adalah golongan yang paling tertinggal dalam bidang teknologi maklumat (IT) di negara ini berbanding masyarakat Cina dan India dalam memiliki komputer di rumah dan akses Internet, menurut satu kajian.

Kajian oleh dua ahli akademik Universiti Putera Malaysia (UPM) mendapati hanya 32.3 peratus masyarakat Melayu mempunyai komputer di rumah, berbanding 46.3 peratus bagi masyarakat Cina dan 33.1 peratus untuk masyarakat India.

Manakala, bagi kategori memiliki komputer mempunyai akses Internet pula, masyarakat Cina masih mencatatkan yang tertinggi dengan 29.3 peratus, diikuti India 21.8 peratus dan Melayu 13.8 peratus.

Kajian mengenai masyarakat bermaklumat (k-masyarakat) itu juga mendapati yang kaum Melayu juga merupakan masyarakat paling kurang menjalani kursus komputer berbanding masyarakat lain.

Hanya 15.9 peratus Melayu pernah menjalani latihan komputer, berbanding 23.1 peratus Cina dan 20.1 peratus India pernah menjalani latihan tersebut, menurut kajian itu.

Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunasi, UPM baru-baru ini menjalankan bancian rambang terhadap 2,015 penduduk negara dengan pecahan 57 peratus (1,148 orang) Melayu, 32.1 peratus (628 orang) Cina dan 11.9 peratus (239 orang) India.

Kajian itu dijalankan oleh Dr. Narimah Ismail dan Dr. Musa Abu Hassan dari jabatan itu yag membentangkan kertas kerja bertajuk Kearah K-Masyarakat: Adakah Kita Bersedia? pada bengkel InfoSoc Malaysia 2001 di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Bancian yang dijalankan dari awal hingga pertengahan tahun ini itu dijalankan di empat kawasan iaitu di Sungai Petani, Kedah; Pekan, Pahang; Batu Pahat, Johor dan Lembah Klang.

Dr. Narimah berkata, bagaimanapun, mengikut kajian tersebut, masyarakat Melayu merupakan golongan yang mempunyai kesedaran paling tinggi dalam bidang IT.

Kajian itu mendapati 95.1 peratus masyarakat Melayu pernah mendengar mengenai IT dan 67.4 peratus pula pernah menggunakan komputer.

Bagi penduduk luar bandar secara keseluruhan, kajian mendapati kadar pemilikan komputer agak rendah iaitu 21.5 peratus berbanding 45.9 peratus penduduk bandar mempunyai mesin tersebut.

Bagi kategori komputer dengan akses Internet pula, penduduk bandar mewakili 25.5 peratus dan hanya 9.6 peratus penduduk luar bandar mempunyai akses kepada lebuh raya maklumat itu.

Dr. Musa pula berkata, hasil kajian secara menyeluruh yang dijalankan mendapat sebanyak 72.8 peratus daripada jumlah mereka yang dibanci itu mengakui kurang pengetahuan mengenai IT tetapi mereka bersedia untuk mempelajarinya.

Katanya, kebanyakan mereka yang menyatakan kesediaan untuk mempelajari ilmu IT ialah daripada masyarakat Cina, golongan berpendapatan tinggi dan juga anak muda yang berumur bawah daripada 30 tahun.

Sehubungan itu, kerajaan disarankan agar mengambil beberapa langkah untuk memperkukuhkan lagi hasrat melahirkan pembangunan k-masyarakat dengan meneruskan lagi program kesedaran dan promosi IT menerusi media massa di samping menganjurkan pameran di peringkat daerah secara lebih kerap.

Selain itu, kerajaan juga disarankan agar menggalakkan rakyat celik IT dengan mewujudkan polisi dan peraturan bagi mengawal harga komputer, insentif untuk kreativiti rakyat dalam bidang IT, katanya.

Pensyarah itu juga mencadangkan agar semua sekolah dilengkapi komputer dan berkongsinya dengan masyarakat sekitar di samping melengkapi semua pusat-pusat keagamaan dengan kemudahan komputer.

``Prasarana untuk pertumbuhan k-masyarakat seharusnya dibangunkan dengan secekapnya seperti mengadakan penyelidikan teliti sebelum menjalankan sesuatu projek,'' kata Musa.

Katanya, penyelarasan dalam usaha dan perkongsian sumber perlu juga diberi perhatian alam membina k-masyarakat melalui k-keluarga.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum