SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 28 Jun 2001

HyperReal: Kemuncak teknologi CGI

Final Fantasy; The Spirit Within cerita adventur, ketabahan dan semangat kental kemanusiaan dalam penataan perfileman penuh dengan efek canggih terkini yang menerjah sempadan pengalaman dan realiti foto CGI.

Kisah penceritaan digital ciptaan Columbia Pictures dan Square Pictures ini merupakan kemuncak dalam sejarah perfileman - yang pertama mensimulasi begitu banyak facet emosi dan pergerakan manusia menggunakan karakter dan latar belakang manusia hyperReal, yang dijana sepenuhnya oleh teknologi CGI, demi menjadi filem pertama memanfaatkan aktor-aktor CGI bagi menyajikan cerita kompleks dan mengujakan ke layar perak.

Pengarah filem itu, Hironobu Sakaguchi menyifatkan FF sebagai kemuncak impian para artis CGI dalam mencipta karakter manusia janaan komputer canggih di samping lebih kreatif dan inovatif dalam penggunaan sudut kamera, pencahayaan dan efek khas bagi babak-babak aksi hebat.

Seratus tahun sejarah pembikinan filem telah menyaksikan lonjakan teknik grafik dan teknologi komputer yang membolehkan artis mencapai realiti perfileman tertinggi.

Pembikinan Final Fantasy: The Spirit Within dilakukan di kawasan digital dalam suasana cuaca tropika di Kepulauan Hawaii, di dalam studio dipanggil Square's Honolulu, yang dilengkapi dengan kombinasi stesen kerja terbaru SGI (Silicon Graphic Imagery) dan perisian CG.

Dengan latar belakang Lautan Pasifik dan barisan pohon nyiur yang melambai, 200 artis dari Hollywood, Tokyo dan Eropah, yang telah terlibat dalam pencernaan filem-filem seperti Godzilla, Titanic, dan The Matrix.

Satu proses penting ialah motion capture, di mana seseorang pelakon hyperRealistic dengan pakaian hitam ketat yang dipenuhi dengan 37 bola putih yang terserlah terang dalam kegelapan studio bagi mendapatkan simulasi pergerakan manusia ke dalam format digital.

Semuanya pergerakan para pelakon dalam satu kawasan bergrid seluas 16,000 kaki persegi, dan kesan bunyi dan pergerakan mulut mereka dirakamkan oleh kamera dan dihantar ke rangkaian komputer di Harbor Court di tengah-tengah bandar Honolulu.

Hasilnya ialah lembaga 3D yang menepati semua pergerakan manusia, di mana setelah melalui proses rendering menggunakan perisian ciptaan Square sendiri untuk mendapatkan ton dan tekstur kulit, mimik wajah, dan banyak butiran lain yang memerlukan penyelesaian khusus dalaman.

Berbeza dengan filem animasi, memimik (simulasi) pergerakan manusia amat sukar dilakukan kerana kecenderungan deria penglihatan manusia yang amat kritikal terhadap pergerakan kerana kita telah biasa dengan pergerakan manusia setiap hari.

Final Fantasy merupakan kemuncak dalam gerakan ke arah penciptaan perisian grafik dan animasi 3D yang begitu inovatif dan kompetitif dalam beberapa bulan yang lepas.

Cerita pengembaraan futuristik itu juga menonjolkan era di mana adunan seni dan teknologi tinggi telah mengubah bentuk filem yang akan kita tontoni pada masa depan, yang mempamerkan penyepaduan terbaik imej dunia nyata, karakter manusia dan fantasi ke dalam paparan 3D kompleks di layar perak.

Hironobu berganding tenaga dengan pengarah bersekutu, Motonori Sakakibara, penerbit Jun Aida yang menghasilkan filem Street Fighter, penerbit Chris Lee, penulis skrip Al Reinert, Jeff Vintar, pengarah animasi Andy Jones, pengarah pentas Tani Kunitake, dan penyelia pencahayaan Kevin Bjorke.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum