SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 03 April 2001

Mahathir mahu swasta manfaatkan hasil penyelidikan

Oleh Wan Hazmir Bakar

SERDANG, Isnin – Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mahu sektor swasta memanfaatkan hasil penyelidikan dan pembangunan institusi awam kerana ia berpotensi untuk dikomersialkan.

Perdana Menteri memberi contoh pengkomersialan hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), boleh menjadikan sektor pertanian sebagai bidang perniagaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Mardi mempunyai cukup kemampuan dan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan... yang menjadi masalah ialah tidak ramai menggunakan hasil penyelidikan itu.

“Selagi kita di Malaysia tidak tahu bagaimana untuk menjadikan pertanian sebagai usaha perniagaan, bukan saja setakat usaha bercucuk tanam di belakang rumah untuk kegunaan kita, saya fikir kita tidak akan dapat manfaat daripada kajian Mardi,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Mardi di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi; Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Law Hieng Ding; dan Ketua Pengarah Mardi, Dr Sharan Anang.

Perdana Menteri berkata, sektor swasta boleh mengambil hasil penyelidikan institusi awam seperti Mardi, dan membuat pelaburan untuk mengeluarkan produk berkenaan secara besar-besaran bagi membuat keuntungan.

Beliau berkata, dengan cara itu Mardi serta institusi penyelidikan awam lain juga mendapat pulangan yang boleh digunakan untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan selanjutnya.

“Untuk (mencapai matlamat) ini, kita perlu mempertingkatkan kajian kemungkinan terutama mengenai kos supaya ia (pengkomersialan hasil kajian) lebih menarik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bidang pertanian negara berpotensi dan mampu memberi pulangan menguntungkan sejajar dengan matlamat kerajaan menjadikan sektor itu sebagai salah satu daripada enjin pertumbuhan negara.

Bagaimanapun, katanya, ketika kerajaan memberi lebih tumpuan kepada bidang pertanian, rakyat sebaliknya lebih berminat membeli dan menjual saham kerana ia memberi pulangan lebih mudah.

“Melainkan mereka serius dalam pertanian, kita tidak boleh menjadikan pertanian sebagai enjin pertumbuhan negara,” katanya.

Mengenai masalah yang dihadapi Mardi, Dr Mahathir berkata kerajaan sedar ganjaran untuk penyelidik di institusi itu lebih rendah berbanding di universiti atau syarikat swasta.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersedia mengkaji masalah itu serta memberi peluang kerjaya yang lebih baik bagi memastikan mereka terus berminat untuk berkhidmat dengan Mardi.

Sementara itu, Effendi berkata, kementeriannya sedang mengkaji meminda Akta Domain Awam bagi menggalakkan syarikat swasta berganding bahu dengan Mardi dalam usaha penyelidikan dan pembangunan.

Katanya, pada masa ini syarikat swasta kurang berminat berbuat demikian kerana tidak boleh memiliki hak cipta terhadap hasil penyelidikan itu disebabkan peruntukan dalam akta berkenaan.

“Pada masa ini ia sedang dikaji oleh Pejabat Peguam Negara. Jika tiada halangan kita akan membentangkannya di Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Dalam lawatan hampir empat jam itu, Perdana Menteri melihat hasil penyelidikan Mardi yang boleh dikomersialkan termasuk produk berkualiti yang diperbuat daripada serat kenaf.

Dr Mahathir turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Mardi dan Glowing Hill Sdn Bhd bagi pengeluaran telur rendah kolesterol.

Mardi diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Abi Musa Asaari Mohamad Nor manakala Glowing Hill oleh pengerusi eksekutifnya, Datuk Annuar Musa.

Mardi akan mengadakan hari terbuka sempena ulang tahunnya ke-30 di ibu pejabatnya di sini dari 5 hingga 8 April untuk orang ramai serta pihak swasta melihat hasil penyelidikan yang boleh dikomersialkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi