SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 21 mac 2001

Dialog: Persoalan daripada pengambilalihan Jaring


KALAU kita pernah mendengar berita penggabungan atau pengambilalihan syarikat besar dalam industri komunikasi, telekomunikasi dan Internet yang berlaku di Amerika dan Eropah seperti Microsoft yang membeli syarikat mel elektronik Hotmail, tetapi baru-baru ini perkara yang sama seolah-olah akan menjadi kenyataan di negara kita.

Laporan berita menyebut bahawa Telekom Malaysia bercadang mengambil alih Jaring untuk menjadi Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) paling utama di Malaysia. Langkah ini dipercayai dilakukan kerana Telekom ingin menguasai senario ISP tempatan. Namun pengumuman ini juga menimbulkan beberapa persoalan.

Pertama, Telekom mengendalikan perkhidmatan ISPnya sendiri iaitu TMnet dengan hampir sejuta pelanggan. Angka ini adalah tiga kali ganda daripada jumlah pelanggan Jaring yang menghampiri 350,000(The Edge, 15 Januari 2001). Oleh itu apakah yang ditakuti atau dibimbangi Telekom dan mengapakah ia ingin mengambil alih Jaring?

Kedua, selain Jaring, TMnet memiliki keistimewaan kerana kadar panggilan telefon bagi pengguna Internet tempatan yang dikenakan adalah pada 1.5 sen seminit untuk pelanggannya dan 2.5 sen untuk ISP lain bagi mereka yang menggunakan Internet. Ini sudah tentu memberikan kelebihan daripada ISP lain.

Menurut The Edge dalam temubual netv@alue2.0 pada Disember lalu dengan pemangku ketua pegawai operasi Telekom Multimedia yang mengendalikan TMnet, Abdul Majid Abdullah, beliau berkata, ISP mengalami kerugian melayani kepentingan bukan komersial.

Menurut beliau, kadar kos seminit yang dikenakan bagi pengguna Internet sepatutnya lima sen seminit.

Oleh itu mengapakah Telekom ingin membeli Jaring jika tidak kerana dominasi atau penguasaan pasaran? Adakah dengan pengambilalihan ini Telekom bercadang menaikkan kadar panggilan telefon untuk mereka yang menggunakan Internet? Apakah makna penggabungan ini kepada rakyat Malaysia?

Penerangan yang diberikan melalui laporan media ialah pengambilalihan ini bukanlah langkah memonopoli kerana masih ada ISP lain yang beroperasi dan menjalankan perkhidmatan yang sama. Alasan yang diberikan itu masih boleh dipertikaikan kerana hakikatnya capaian dan liputan daripada syarikat ISP lain masih terbatas ke kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta satu atau dua bandar raya yang lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bharu.

Oleh itu pengambilalihan Telekom ke atas Jaring akan menjadikan ia sebuah entiti monopoli. Tambahan pula sebagaimana diterangkan, ISP lain yang beroperasi di Lembah Klang masih tidak menikmati kadar tarif telefon 1.5 sen seminit bagi penggunaan Internet sebagaimana yang dinikmati Jaring dan TMnet.

Oleh itu, seperti yang dijelaskan di atas, apa yang menjadikan isu dalam cadangan pengambilalihan ialah Telekom mungkin boleh saja menaikkan kadar bayaran capaian tanpa perlu mengekalkan kadar lama. Sekarang Telekom tidak dapat melakukannya kerana jika ia mengambil tindakan sedemikian bermakna ia akan kehilangan pelanggannya kepada Jaring yang dapat memainkan peranan sebagai pesaing kepada TMnet.

Jika pengambilalihan berlaku, tiada siapa yang boleh menyekat kenaikan bayaran capaian kepada Internet.

Jika ISP lain ingin bersaing, sejauh manakah keupayaan mereka untuk berhadapan dengan gabungan TMnet/Jaring ini? Keadaan ini tentulah mengurangkan daya saing dan menyebabkan pengguna kekurangan pilihan. Satu kesilapan yang dilakukan ialah kemasukan syarikat ISP lain yang agak terlewat walaupun kewujudan dua syarikat terawal TMnet dan Jaring boleh dikatakan baik untuk suasana persaingan dalam industri perkhidmatan Internet di negara ini.

Tetapi dengan pengumuman cadangan pengambilalihan dan langkah yang seolah-olah mendapat lampu hijau daripada Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, ini bermakna kita melangkah setapak ke belakang dalam pembangunan Internet negara, bukannya maju ke depan sebagaimana yang difikirkan.

Sekiranya pihak kementerian berasaskan bahawa Jaring tidak diuruskan dengan baik atau ada perkara lain lagi, maka cadangan boleh dibuat supaya satu syarikat swasta lain yang mempunyai daya saing dan sumber meneruskan usaha penyambungan Internet dan meningkatkan capaiannya di negara ini. Tetapi, ia tidaklah semestinya diberikan kepada Telekom kerana masih ada syarikat lain yang berkeupayaan melakukannya di negara ini.

Menurut laporan The Edge seorang perunding firma telekomunikasi besar berkata sekiranya Telekom mengambilalih Jaring, ia tidak melihat sebarang peningkatan ketara dalam pendapatan jika ingin meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan produknya, kerana pelanggan akan mencari ISP lain iaitu Maxis.

“Telekom adalah gergasi ‘tidur’ yang seharusnya melakukan dengan lebih banyak lagi dalam menyediakan kemudahan prasarana Internet dan kawasan perkhidmatan,” kata juru perunding itu.

Kita mungkin bertanya dalam sebuah pasaran yang kecil seperti Malaysia memerlukan lebih daripada tiga ISP? Bayangkan dengan kadar penggunaan komputer peribadi yang masih rendah tentulah pasarannya masih kecil. Kerajaan boleh saja menyediakan prasarananya tetapi dapatkah pasaran menyokongnya?

Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menganggarkan pada penghujung Disember 2000 sudah ada 2.2 juta komputer di negara ini.

Walau apapun pandangan yang diberikan sama ada menyokong atau tidak dengan tindakan Telekom membeli Jaring, perhatian harus ditumpukan kewajaran tindakan Telekom itu dan harga yang dibayar dalam proses pembelian itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi