SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 28 mac 2001

Skop: Ecolog kurangkan kemusnahan struktur hutan


INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) sentiasa peka untuk melaksanakan pelbagai kegiatan dan penyelidikan bagi memastikan sektor perhutanan negara diurus dengan mapan. Pada 1999, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan merangkumi beberapa kegiatan pengurusan hutan secara mapan, antaranya, pengurusan hutan asli, sumber bukan kayu atau rotan buluh, ladang hutan dan pemuliharaan kepelbagaian hayat hutan. Dalam bahagian akhir isu ini, Wartawan Berita Harian, MOHD YUSOF SULAIMAN, menyingkap antara penemuan terbaru Frim bagi memastikan kelestarian kawasan hijau di negara ini sentiasa terpelihara.



MENYEDARI pentingnya sumbangan hutan kepada keseimbangan ekosistem, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) memperkenalkan satu kaedah pembalakan mesra alam. Kaedah pembalakan yang dikenali sebagai Ecolog – singkatan Eco Friendly Logging, dijangka dapat mengurangkan kemusnahan struktur hutan.

Biasanya, balak yang ditebang akan ditarik keluar dari kawasan penebangan menggunakan jentolak. Ketika balak ditarik, tanah akan terhakis sementara pokok kecil musnah. Keadaan ini menyebabkan struktur tanah dan hutan berubah. Akibatnya, hutan terdedah dengan bahaya hakisan, banjir lumpur dan tanah runtuh. Bagaimanapun, melalui Ecolog, perkara itu dapat dikurangkan.

Menurut Pengarah Bahagian Hutan Asli Frim, Dr Shamsudin Ibrahim, Ecolog adalah penemuan terbaru Frim bagi memastikan kegiatan pembalakan di negara ini, memenuhi kriteria pengurusan hutan secara mapan.

Katanya, berdasarkan hasil uji kaji yang dijalankan di hutan simpan Jerangau, Terengganu dan hutan simpan Temenggor, Perak, kesan kemusnahan tanah dan pokok lebih minimum daripada kaedah pembalakan biasa.

“Hasil uji kaji mendapati peratusan kemusnahan tanah dan pokok akibat laluan kayu balak lebih kecil berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana kurang berlaku hakisan tanah dan kemusnahan pokok, kualiti air dan struktur tanah di kawasan itu tidak terjejas.

Dr Shamsudin berkata, penemuan Ecolog dijangka dapat menjamin kelestarian hutan sebagai ejen utama keseimbangan ekosistem ini.

Ecolog adalah beberapa komponen utama iaitu sebuah kon, kabel besi dan win (jentera) hidraulik.

Beliau berkata, kon akan dipasang pada bahagian hadapan kayu balak yang hendak ditarik. Setelah itu, balak ditarik menggunakan win hidraulik yang diletakkan di bahagian permatang hutan - bukan kawasan penebangan, melalui lorong yang disediakan.

Katanya, proses penarikan keluar itu akan dilakukan berulang sehingga kayu balak yang ditebang berjaya dikeluarkan.

Dr Shamsudin berkata, hasil uji kaji menunjukkan hampir 15 hingga 20 balak berjaya dikeluarkan dalam sehari.

“Walaupun produktivitinya berkurangan, ia tetap menguntungkan, terutama kepada mutu hutan di negara ini,” katanya.

Melalui Ecolog, ia menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada dunia bahawa hutan negara sentiasa dipelihara.

“Ini yang dikatakan pengurusan mapan, iaitu memanfaatkan hutan bagi tujuan pembangunan dan dalam masa sama mengekalkan fungsi hutan kepada alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kaedah pembalakan yang diperkenalkan itu dapat dimanfaatkan pembalak di negara ini. Mereka tidak boleh sesekali berdalih bahawa kaedah itu kurang produktif atau mahal.

Katanya, kos keseluruhan Ecolog dianggarkan di antara RM150,000 dan RM 200,000.

“Pembalak tidak boleh mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka perlu berkorban dan terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa kesedaran, apa jua langkah yang diperkenalkan dan kempen yang dijalankan kerajaan tidak akan menjamin kelangsungan sumbangan hutan kepada manusia.

“Sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan hutan diurus dengan mapan, Frim sentiasa bertindak proaktif mengenegahkan pelbagai penyelidikan ke arah keseimbangan hutan di negara ini,” katanya.

Frim sebelum ini memperkenalkan banyak langkah bagi memastikan kaedah pembalakan yang dipraktikkan memenuhi piawaian pengurusan hutan yang mapan dan menjamin keseimbangan alam sekitar.

Menurutnya, dalam kegiatan tanaman semula terutama di kawasan Betau - kawasan penempatan kayu balak yang ditinggalkan, Bahagian Hutan Asli memperkenalkan satu alat yang dikenali sebagai Bob Cat.

Katanya, alat itu memudahkan pembalak mengorek lubang bagi tujuan penanaman semula anak pokok.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi