SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 28 mac 2001

Skop: Hutan pengimbang ekosistem bumi


LAPORAN ‘Senarai Dunia Bagi Pokok-Pokok Terancam’ yang disiarkan majalah Discover edisi Januari 1998 menyatakan lebih 8,753 daripada kira-kira 80,000 hingga 100,000 spesies pokok dunia diancam kepupusan. Jumlah itu termasuk hampir 1,000 spesies pada peringkat kritikal dengan sebahagian spesies itu hanya diketahui sebilangan kecil individu saja. Kajian yang dijalankan Pusat Pemantauan Pemuliharaan Dunia, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Kesatuan Pemuliharaan Dunia (UCN) itu menyebut, ia antaranya berpunca daripada kegiatan penebangan pokok dan pengurusan hutan yang lemah. Dalam bahagian kedua rencana ini, wartawan Berita Harian, MOHD YUSOF SULAIMAN, menyingkap kesan penebangan hutan kepada haiwan dan mutu air.



KAJIAN yang dijalankan oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat mendapati haiwan lebih mengutamakan habitat daripada makanan. Kajian yang dijalankan pada musim sejuk itu mendapati seekor rusa yang kelaparan tidak keluar makan meskipun makanan disediakan berhampiran kandang.

Penyelidik yang menjalankan kajian itu merumuskan habitat adalah tempat yang paling mustahak bagi haiwan.

Habitat haiwan biasanya dikaitkan dengan kawasan hutan. Contohnya hampir 80 peratus daripada spesies burung bergantung kepada hutan sebagai habitat manakala selebihnya hidup di luar kawasan hutan.

Oleh itu, apabila hutan ditebang, terutama melalui kegiatan pembalakan, pembakaran dan penerokaan, habitat haiwan akan musnah. Lama kelamaan haiwan akan mati atau pupus.

Menurut pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamed Zakaria Hussin, kemusnahan habitat akan menghalang pembiakan dan tumbesaran haiwan.

Katanya, antara punca kemusnahan habitat ialah perubahan suhu tanah dan persekitaran hutan serta ketiadaan makanan.

Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan habitat beberapa spesies burung rimba, terutama daripada spesies rhinocerous hornbills dan babblers, mudah terganggu.

Menurutnya, kepupusan bukan lagi satu perkara baru, sebaliknya Malaysia sudah pun ditimpa masalah itu.

Dr Mohamed Zakaria berkata, antara haiwan yang sudah pupus ialah burung merak hijau dan badak Jawa.

Katanya, haiwan jenis itu yang ada di beberapa zoo kini diimport dari Thailand.

“Kerajaan terpaksa mengimport burung merak hijau kerana sudah tidak ada lagi di hutan kita,” katanya.

Menurutnya, selain merak hijau, negara dijangka akan berdepan kepupusan badak Sumatera.

Dr Mohamed Zakaria berkata, projek ternakan badak Sumatera dalam kurungan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Dusun, Selangor hampir sepuluh tahun lalu gagal menghasilkan baka.

Katanya, antara punca kegagalan pembakaan haiwan itu ialah ketidaksesuaian habitat dalam kurungan berbanding habitat asal.

“Kita tidak tahu apakah habitat badak Sumatera. Habitat yang dibuat manusia berbeza dengan habitat asalnya,” katanya.

Menurutnya, bilangan badak Sumatera yang ada di negara ini semakin berkurangan, dengan hanya dianggarkan 50 hingga 60 ekor yang masih ada berbanding ratusan ekor sekitar tahun 60-an.

Oleh itu, katanya, jika hutan di negara ini tidak diuruskan dengan mapan, kepupusan beberapa spesies haiwan lain akan berlaku.

Katanya, pengurusan hutan secara mapan perlu dilihat daripada perspektif yang luas, iaitu meliputi teknik pembalakan, penguatkuasaan yang telus dan kesedaran semua pihak terhadap kepentingan penjagaan hutan.

Dengan adanya pengurusan sedemikian, ia akan menjamin kehidupan haiwan sebagai salah satu penyumbang kepada keseimbangan ekosistem.

Dr Mohamed Zakaria berkata, kajian yang dijalankan di Lembah Danum, Sabah, mendapati kesan pembalakan memusnahkan habitat pelbagai spesies burung.

Berdasarkan kajian itu, katanya, dirumuskan bahawa ada dua kumpulan burung – spesies rimba dan burung lapisan atas hutan – yang terdedah dengan bahaya berikutan kegiatan penebangan hutan.

Kajian pada 1990 hingga 1992 itu menunjukkan habitat burung rimba musnah kerana suhu tanah dan persekitaran hutan bertambah sementara burung spesies lapisan atas hutan kehabisan sumber makanan disebabkan pokok buah musnah ditimpa kayu balak.

Justeru, katanya, penebangan hutan yang dilakukan secara intensif akan memaksimumkan kemusnahan sumber makanan haiwan.

Kajian yang dijalankan di Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor pula mendapati hutan yang baru pulih daripada kegiatan pembalakan jarang didiami haiwan. Hutan baru yang dikenali sebagai hutan sekunder itu – meskipun hampir lima tahun pembalakan dihentikan – tetap jarang dihuni semula binatang.

Katanya, orang yang memusnahkan hutan bertanggungjawab dalam masalah itu.

Dr Mohamed Zakaria berkata, pewartaan hutan sebagai hutan simpan adalah langkah realistik kerajaan bagi mengekalkan pemeliharaan hidupan liar.

“Saya berharap hutan simpan tidak lagi diganggu atau diteroka dalam apa cara.

“Sumbangan hutan besar kepada kesihatan ekosistem. Jika ekosistem rosak, maka kehidupan manusia turut musnah,” katanya.

Katanya, setiap makhluk ciptaan Tuhan mempunyai sebab tertentu ia diciptakan. Jika haiwan tertentu tidak ada, pasti ia mendatangkan malapetaka kepada kehidupan di alam ini.

“Laporan menyebut ada ladang di negara tertentu diserang jutaan belalang. Kenapakah belalang itu berbuat demikian?

“Puncanya ialah salah satu daripada ekosistem alam telah tidak ada sehingga haiwan itu boleh hidup tanpa kawalan,” katanya.

Selain itu, katanya, haiwan menjadi kayu pengukur kepada manusia mengenai mutu alam sekitar. Sebagai contoh, bilangan gagak yang banyak adalah pengukur kemerosotan mutu kebersihan sesebuah kawasan.

Katanya, burung gagak menjadikan sampah sarap sebagai makanan. Oleh itu, jika sesebuah kawasan kotor, maka banyaklah juga burung gagak.

Beliau berkata, sikap manusia yang sering menyalahkan haiwan jika diganggu adalah satu sikap yang tidak elok.

Katanya, sepatutnya persoalan perlu difikirkan, iaitu kenapakah haiwan itu sering merosakkan tanaman, mencuri makanan dan membunuh manusia.

“Jawapannya ialah kerana habitat dan sumber makanan telah musnah. Oleh itu, ia mencari makanan di kebun atau ladang sehingga boleh mengancam nyawa manusia,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi