SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 24 mac 2001

Skop: Pembalakan jejas mutu air sungai


PENEBANGAN hutan bukan saja menyebabkan hakisan tanah dan memusnahkan pelbagai spesies pokok, malah turut menjejaskan mutu air sungai sekitarnya.

Dalam kitaran hidrologi, air hujan meresap ke dalam tanah melalui akar pokok manakala sebahagiannya mengalir di atas permukaan tanah.

Ketika itu, pokok berfungsi sebagai penebat banjir semula jadi mengawal kestabilan kadar aliran air hujan ke dalam sungai.

Apabila ia ditebang, air yang mengalir laju di atas permukaan tanah akan membawa kumin-kumin tanah dan bahan pepejal dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, air sungai menjadi keruh, berkeladak dan dipenuhi sampah sarap.

Menurut Pensyarah di Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Kamil Yusoff, pepejal terampai dan kekeruhan adalah dua kriteria utama yang akan dinilai untuk menentukan mutu air sungai di kawasan hutan.

“Peningkatan kadar pepejal terampai dan kekeruhan saling berkait antara satu dengan lain. Jika kadar pepejal terampai tinggi, maka kekeruhan juga tinggi,” katanya.

Beliau berkata, selain penentuan kadar pepejal terampai dan kekeruhan, kadar gas ammonia yang terlarut dalam air juga diambil kira bagi menentukan mutu air di kawasan hutan.

Bagaimanapun, katanya, penentuan kadar gas ammonia jarang digunakan di kawasan itu, sebaliknya ditumpukan di sungai berhampiran kawasan perindustrian.

Dr Mohd Kamil berkata, kekeruhan pula adalah keputusan secara visual menentukan sama ada air itu bermutu atau tidak.

“Jika air sungai berwarna kuning, pasti kita menganggap air itu kotor,” katanya.

Katanya, berdasarkan Piawai Kualiti Air Kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, sungai kelas satu mempunyai kadar pepejal terampai sebanyak 25 miligram setiap liter (mlg/l) dan lima Nephelometric Turbidity Unit (NTU) kekeruhan.

Sungai kelas dua (A) dan (B) pula ialah 50 mlg/l pepejal terampai serta 50 NTU. Sungai kelas tiga iaitu 150 mlg/l pepejal terampai dan lebih 50 NTU manakala sungai kelas empat dan kelas lima masing-masing 300 mg/l pepejal terampai dan lebih 50 NTU kekeruhan.

Katanya, setiap kelas sungai itu ada kegunaan dan kebaikan yang tersendiri. Antara kebaikan dan kegunaannya ialah:

l Kelas satu – bersih dan tidak memerlukan rawatan kecuali bagi tujuan pembasmian kuman dan pendidihan. Ia juga amat baik bagi kehidupan spesies akuatik dan pertumbuhan plankton;

l Kelas dua (A) – sesuai bagi tujuan bekalan air. Ia perlu dirawat dan masih sesuai untuk melindungi kehidupan spesies akuatik yang sensitif;

l Kelas dua (B) sesuai untuk kegiatan rekreasi.

l Kelas tiga – memerlukan rawatan intensif untuk tujuan bekalan. Bagi kehidupan spesies akuatik pula, ia masih lagi sesuai dan mempunyai nilai ekonomi. Bagaimanapun, air daripada sungai kelas tiga tidak sesuai untuk diminum manusia, sebaliknya hanya sesuai bagi binatang ternakan.

l Kelas empat – hanya sesuai untuk tujuan kegiatan pengairan; dan

l Kelas lima – tidak sesuai untuk semua kegiatan di atas.

Dr Mohd Kamil berkata, pengkelasan sungai itu bukan hanya dinilai daripada aspek kadar kandungan pepejal terampai dan kekeruhan, sebaliknya meliputi kandungan bahan kimia yang terlarut, bau, rasa dan lain-lain lagi.

Berasaskan beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini, sumber air di negara ini, khususnya sungai, berada dalam kelas tiga.

Katanya, kadar kekeruhan dan pepejal terampai yang tinggi boleh meningkatkan kos rawatan air. Selain itu, ia boleh menyebabkan sesebuah sungai menjadi cetek.

“Sungai yang cetek akan mengurangkan bekalan air dan menjejaskan sumber minuman pelbagai hidupan. Jika sumber utama itu berkurangan, kita yang susah,” katanya.

Justeru, katanya, penebangan atau pembangunan yang dijalankan di kawasan tadahan air itu akan mengurangkan sumber minuman bagi seluruh makhluk di alam ini dan menjejaskan mutunya.

Katanya, bagi memastikan sumber air, khususnya sungai di negara ini terus berkekalan, pihak berkuasa perlu mempertingkatkan penguatkuasaan dan memastikan kawasan tadahan bebas daripada kegiatan pembalakan serta penebangan pokok.

“Kawasan tadahan air tidak boleh dibangunkan jika mahu mengekalkan kelangsungan sungai sebagai sumber air utama untuk generasi akan datang.

“Pembangunan yang dilakukan kini banyak meminggirkan kriteria itu, sebaliknya mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi