SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 02 April 2001

TNB guna 1,000 tan minyak sawit mentah untuk stesen janakuasa

MUADZAM SHAH 1 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menerima 1,000 tan minyak sawit mentah dari Kementerian Perusahaan Utama pada 12 Mei depan bagi digunakan sebagai bahan api untuk stesen jana kuasa elektriknya.

Pengerusi TNB, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, penerimaan pertama minyak sawit mentah itu akan digunakan di Stesen Jana Kuasa TNB, di Perai.

``Langkah ini menunjukkan keyakinan TNB untuk menggunakan sumber daripada minyak sawit sebagai bahan api dan sekali gus menyahut seruan kerajaan supaya menggunakan bahan berkenaan,'' katanya, di sini.

Beliau berkata, langkah berkenaan tiada kaitan dengan usaha mengurangkan kos operasi TNB tetapi adalah suatu usaha yang dilakukan untuk mempelbagaikan bahan api.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan juga adalah untuk membantu kerajaan yang berusaha mempelbagaikan kegunaan minyak kelapa sawit.

``TNB sememangnya berhasrat untuk membantu kerajaan dan jika keadaan mengizinkan, kami bercadang meningkatkan lagi penggunaan bahan ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, TNB telah berjaya melanjutkan tempoh dua pegangan bon kepada 10 tahun lagi daripada pemegang-pemegang bon berkenaan.

``Kedua-dua bon berkenaan iaitu bernilai AS$300 juta yang akan matang pada 2002 dan satu lagi bernilai AS$400 juta pada 2004,'' katanya.

Beliau berkata, dengan lanjutan tempoh bayaran hutang kepada 10 tahun lagi itu, TNB akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kewangan dan imbangan pembayaran.

Menurutnya, pemegang bon berkenaan bukan sahaja terdapat di Malaysia tetapi juga di Singapura, Hong Kong dan New York.

Oleh: YUSWANDI MAJID

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi