SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 02 April 2001

MARDI terokai nilai herba


TAMAN herba di stesen penyelidikan MARDI, Serdang menjadi tumpuan serta rujukan mereka yang ingin menjadi peladang tumbuhan herba.

JIKA diselak lembaran sejarah, tiada siapa yang boleh menafikan kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam melaksanakan tanggungjawabnya memajukan sektor pertanian negara.

Sejak ditubuhkan pada Oktober 1969 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Februari dua tahun kemudian, sudah banyak perubahan dan pembaharuan berjaya dilaksanakan oleh institut tersebut.

Paling ketara ialah kemampuan melaksanakan penyelidikan serta memperkenalkan kaedah tanaman berkesan untuk komoditi pertanian yang baru dibawa ke negara ini.

Hasil usaha MARDI jugalah, Malaysia kini menjadi satu daripada pengeluar utama dunia bagi komoditi seperti kelapa sawit, getah, koko, nanas dan lada hitam. Apa yang membanggakan, keupayaan institut itu adalah di luar jangkaan sama sekali, malah mengalahkan keupayaan negara asal tumbuhan berkenaan ditemui .

Misalnya, keupayaan industri getah tempatan jauh mengatasi Brazil. Begitu juga negara-negara Afrika yang mula ditemui pokok kelapa sawit dan koko. Selepas 30 tahun berlalu dan mengecapi bermacam kejayaan, MARDI kini memulakan satu lagi lembaran baru dalam era penyelidikannya.

Tumpuan terbarunya ialah untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai tanaman komersial seperti yang dinikmati oleh kelapa sawit, getah, koko, lada hitam dan beberapa komoditi lain. Jika dahulu tumbuhan herba ditanam secara kecil-kecilan di sekeliling rumah atau pun dicari di hutan rimba untuk industri kampung, namun sekarang MARDI bertekad untuk mempelopori usaha penanamannya secara lebih meluas.

Sasarannya bukan lagi ditanam di tanah yang berkeluasan berpuluh ekar sahaja tetapi ke arah mengajak rakyat dan usahawan tempatan mengusahakan ladang herba bersaiz ratusan mahupun beribu hektar. Langkah itu adalah selaras dengan Dasar Pertanian Negara 1998-2010 yang mengenal pasti industri herba sebagai salah satu industri yang amat berpotensi dimajukan pada abad ke-21 ini.

Bersesuaian dengan perubahan gaya hidup masyarakat dunia dan keperluan industri makanan juga, MARDI turut mendapati tumbuhan herba berupaya menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada peladang mahupun petani. Malah ia boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding sesetengah tanaman tradisi lain yang banyak diusahakan oleh petani ataupun pekebun kecil di luar bandar.

Menurut Pengarah Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI, Adinan Husin, selepas berjaya membangunkan kaedah tanaman dan teknologi untuk komoditi yang dibawa dari luar negara, tibalah pula masanya untuk institut itu memajukan tumbuhan tempatan. Untuk itu katanya, sebagai permulaan, MARDI berhasrat membangunkan industri tanaman herba tempatan yang terbukti potensi dan memiliki pasaran yang besar sahaja.

``Negara kita mempunyai ratusan jenis pokok herba bagaimanapun MARDI telah mengenal pasti 12 jenis yang berpotensi besar untuk dimajukan,'' katanya.

Adinan berkata, tumbuhan yang dianggap komoditi baru pada masa depan itu terdiri daripada lidah buaya, hempedu bumi, pegaga, kunyit, serai wangi, tongkat ali, cekur, mengkudu, kemangi, misai kucing, dukung anak dan nilam.

Selain itu, pokok tea yang banyak terdapat di Australia juga turut ingin dimajukan ekoran ia mempunyai permintaan yang tinggi dan berupaya menghasilkan pelbagai produk.

Pendekatan terbaru MARDI itu seharusnya dipuji memandangkan permintaan terhadap produk herba telah meningkat berkali ganda sejak berpuluh tahun lalu. Misalnya, pada tahun 1996 sahaja, penggunaan makanan herba dunia untuk kesihatan telah mencecah RM950 bilion dan dijangka meningkat sehingga RM2,380 bilion pada masa sekarang.

Begitu juga permintaan pasaran dunia terhadap herba dan produknya kini telah mencecah nilai berbilion ringgit berbanding hanya RM2,093.8 juta dolar pada tahun 1980 seperti yang dilaporkan oleh Pusat Perdagangan Antarabangsa.

Malaysia sendiri sebenarnya tidak terlepas daripada dilanda arus perkembangan perubatan tradisi dunia. Umpamanya, nilai import tumbuh-tumbuhan ubatan dan beraroma negara telah meningkat daripada RM141 juta pada tahun 1986 kepada RM431 juta pada 1996.

Pasaran makanan kesihatan turut meningkat sebanyak 15 peratus setahun. Ia dinilaikan pada RM28 juta sahaja tujuh tahun lalu, namun industri herba telah meningkat dengan mendadak dan dianggarkan bernilai RM2 bilion sekarang.

Peningkatan permintaan tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan berdasarkan sifat kegunaannya yang pelbagai. Tumbuhan herba digunakan secara meluas dalam produk-produk seperti perubatan tradisional, penghasilan bahan kimia tulen dalam ubat-ubatan dan juga ekstrak yang mengandungi bahan aktif. Ia juga digunakan dalam industri makanan, minuman, perisa, kosmetik, bahan pencuci, kemasan diri, penambahan diet serta wangi-wangian di samping bahan kimia lain.

Paling banyak mengaut keuntungan sudah pasti industri farmaseutikal, ubatan tradisi dan makanan kesihatan. Di Malaysia, kepelbagaian biologi flora dan fauna bakal menjadi pemangkin ke arah kemajuan industri herba tempatan serta kewujudannya sebagai komoditi baru kebanggaan negara.

Kemewahan khazanah rimbanya juga bakal merubah wajah Malaysia daripada negara pengimport tumbuhan herba kepada pengeluar serta pengeksport penting pada suatu hari nanti.

Matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Malaysia merupakan antara negara `terkaya' di dunia kerana hutan hujan tropikanya mempunyai lebih 20,000 spesies tumbuhan.

Paling menarik, ia turut memiliki kira-kira 2,000 spesies tumbuhan ubatan yang telah didokumentasikan, sekali gus berperanan sebagai stor simpanan yang mengandungi bahan kimia bernilai untuk diproses menjadi produk penjagaan kesihatan.

Berikutan itu kata Adinan, MARDI bertekad meneroka serta mempelopori bidang tersebut untuk memastikan negara mampu mewujudkan industri herbanya sendiri di samping membantu melahirkan ramai peladang berjaya.

Bahkan kata beliau, kelahiran industri itu bakal menjadi `penyelamat' sekiranya komoditi pertanian sedia ada terus berhadapan dengan persaingan hebat serta kejatuhan harga.

Adinan memberitahu, MARDI dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengenal pasti 18 tumbuhan yang boleh dimajukan, namun sebagai permulaan institut itu berhasrat memberi tumpuan kepada 12 sahaja dulu.

``Sekiranya telah berjaya barulah usaha untuk mengkomersialkan tanaman lain pula akan dilakukan,'' katanya.

Apa yang penting menurut beliau, teknik atau tatacara tanaman yang menggunakan kos yang rendah perlu diketahui terlebih dahulu di samping teknologi pemprosesan. Ini kerana faktor tersebut merupakan antara isu utama dalam melaksanakan tanaman secara besar-besaran.

Begitu juga pengetahuan tentang kaedah tanaman, pembajaan, penjagaan, penghasilan benih bermutu serta teknologi yang berkaitan.

``Kita ada pengetahuan, teknologi serta maklumat mengenainya dan sekarang adalah masa untuk memulakan usaha pengkomersialan,'' katanya.

Pasaran produk berasaskan herba tidak perlu dibimbangi kerana telah wujud trend masyarakat dunia yang berpendidikan sudah mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi berbanding produk yang mengandungi bahan kimia.

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha mengkomersialkan tanaman herba bakal memberi cabaran baru terhadap MARDI. Fokus terbaru MARDI ini ada baiknya kerana tentulah aneh sekiranya selepas berjaya memajukan tanaman `asing' ia masih gagal mengkomersialkan tumbuhan tempatan.

Usaha besar ini juga bakal menguji kematangan institut itu selepas 30 tahun berkecimpung dalam pelbagai penyelidikan pertanian.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi