SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 02 April 2001

100 kampung dipilih sertai program IT


KEPALA BATAS, Ahad – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memilih 100 kampung di seluruh negara untuk menyertai program Kampung IT (teknologi maklumat) bagi meningkatkan tahap celik komputer di kalangan penduduk luar bandar.

Melalui program berkenaan, Pos Malaysia akan memastikan penduduk kampung terutama di luar bandar tidak ketinggalan dalam mendalami perkembangan dan kemajuan IT.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Zainal Mahmood berkata, melalui program itu Pos Malaysia yakin dapat mencapai sasaran pertambahan peratusan penduduk yang celik komputer dari semasa ke semasa.

Katanya, Pos Malaysia berharap program itu juga mampu mencapai matlamat kempen satu keluarga satu komputer kerana ia mampu meningkatkan ilmu IT di kalangan penduduk untuk membentuk masa depan yang lebih cerah.

“Penduduk kampung yang dipilih bagi melaksanakan program itu diharap dapat memberi kerjasama padu bagi memastikan program ini berjalan lancar dan menjayakan kempen yang dilaksanakan kerajaan,” katanya pada majlis perasmian pelancaran Hari IT Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) peringkat Parlimen Kepala Batas di Pejabat Pos Kepala Batas di Bertam dekat sini, semalam.

Perasmian Hari IT itu disempurnakan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood.

Sehubungan itu, katanya penduduk kawasan Parlimen Kepala Batas bertuah kerana Yayasan Penyayang milih kawasan itu untuk pelancaran Hari IT dan menyediakan pusat IT di pejabat Kepala Batas.

Sementara itu, beliau berkata Pos Malaysia bercadang mewujudkan pusat IT di pejabat Pos Penaga kerana pejabat pos berkenaan dikenal pasti antara yang sesuai untuk program itu melalui kerjasama Yayasan Penyayang.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Endon berkata rakyat negara ini perlu meningkatkan minat terhadap ilmu IT supaya ia setanding dengan negara lain yang lebih 50 peratus rakyatnya celik komputer.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi