UMUM

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Majlis Perancangan Fizikal Negara akan ditubuhkan

PUTRAJAYA 4 Mei - Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 akan dipinda Julai ini bagi membolehkan kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengenai pembangunan sempadan disepadukan melalui penubuhan Majlis Perancangan Fizikal Negara.

Majlis itu akan berperanan sebagai forum perundingan bagi membolehkan kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan membincangkan perkara berkaitan dengan perancangan bandar dan desa secara bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan beliau sendiri akan menjadi timbalan pengerusinya.

``Majlis yang hendak ditubuhkan ini berperanan sebagai badan penasihat kepada negeri-negeri berhubung dengan pembangunan bandar dan desa yang akan dijalankan di negeri masing-masing.

``Kerajaan Persekutuan tidak berniat mengganggu perancangan pembangunan di peringkat negeri cuma kita tawarkan khidmat nasihat dan kepakaran bagi memastikan setiap rancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkualiti,'' katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-49 di sini hari ini.

Selain itu, Abdullah berkata, majlis itu mampu meningkatkan perhubungan dan kerjasama antara setiap kerajaan negeri terutama dalam menyelaras dan menangani isu-isu pembangunan yang melewati sempadan negeri.

Dalam isu pembangunan yang melewati sempadan negeri, menurut beliau, Kerajaan Persekutuan memerlukan sebuah badan yang mampu menjadi tempat perundingan agar wujudnya satu koordinasi antara negeri-negeri yang terlibat.

``Seperti Putrajaya, kita amat memerlukan kerjasama daripada kerajaan Selangor untuk merealisasikan kewujudan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu,'' tambahnya.

Katanya, mesyuarat hari ini bersetuju meminda Seksyen 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

``Pindaan ini mampu mewujudkan sebuah perhubungan yang bersepadu antara setiap kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengenai hal ehwal perancangan bandar dan desa.

``Saya percaya, selepas ini banyak lagi pembangunan-pembangunan yang akan dijalankan yang memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan,'' ujarnya lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum