Make your own free website on Tripod.com


UMUM

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Kerahan tenaga mungkin diperkenal

MELAKA 5 Mei - Kerajaan mungkin akan memperkenalkan sistem kerahan tenaga ke atas rakyat bukan bumiputera sekiranya penglibatan mereka di dalam tentera masih berkurangan pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut bertujuan untuk menarik golongan berkenaan menyertai tentera, bukan sahaja di peringkat pegawai malah bagi lain-lain pangkat.

``Kita (kerajaan) tidak perlu mengenakan sistem kerahan tenaga kerana jumlah anggota tentera kita cukup, kalau nak dilaksanakan pun, mungkin kepada golongan bukan bumiputera,'' kata beliau kepada sidang akhbar selepas Perhimpunan Perdana Warga Gerak Khas di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Sungai Udang Melaka, dekat sini, hari ini.

Dr. Mahathir menegaskan, rakyat bukan bumiputera seharusnya menyertai perkhidmatan tentera kerana mereka juga merupakan penduduk yang perlu mempertahankan negara ini daripada ancaman musuh.

Ditanya mengapa golongan tersebut kurang berminat menyertai tentera, Perdana Menteri berkata, ini mungkin disebabkan oleh gaji atau elaun rendah di dalam perkhidmatan tentera.

``Dalam soal ini, kita (kerajaan) tidak bolehlah beri gaji atau elaun yang berbeza di antara kaum, kita kenalah bagi sama rata.

``Sebaliknya, mereka (bukan bumiputera) seharusnya menjadi tentera kerana sikap patriotik dan nasionalisme penting dalam mempertahankan negara,'' tambah beliau.

Sementara itu, dalam ucapannya kepada warga Gerak Khas, Dr. Mahathir memberitahu, negara berbangga kerana masih boleh mengharapkan rakyat sendiri menyertai tentera.

``Di negara kita, rakyat memilih sendiri menyertai tentera bukannya seperti di sesetengah negara yang rakyatnya tidak berminat untuk menganggotai pasukan pertahanan sehinggakan mereka (rakyat) dipaksa menerusi sistem kerahan tenaga,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata, berbanding negara-negara berkenaan, Malaysia tidak perlu sistem kerahan tenaga kerana rakyat sanggup memikul senjata dan kehilangan nyawa untuk negara.

``Tidak guna rakyat dipaksa menyertai sistem kerahan tenaga sedangkan mereka tidak mempunyai minat untuk mempertahankan kedaulatan negara dan sanggup berkorban nyawa,'' katanya.

Katanya, kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian elaun kepada anggota tentera yang menerima Pingat Gagah Berani (PGB).

``Kerajaan sedang timbang, kenalah adil kepada semua pihak dan jika ada cukup asas, kita tidak teragak-agak memberikan elaun tetapi kenalah ikut prosedur biasa,'' kata Dr. Mahathir.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum