Make your own free website on Tripod.com


UMUM

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Pantau pencegahan banjir secara berterusan - TPM

KUALA LUMPUR 5 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mahu pihak-pihak yang telah diamanahkan memantau pencegahan banjir supaya melaksanakan tugas tersebut secara berterusan dan bukannya ketika atau setelah sesuatu bencana itu berlaku.

Beliau berkata, pihak pemantau perlu sentiasa memastikan apa jua peraturan yang menjadi panduan kepada langkah pencegahan itu dikuatkuasakan dan dipatuhi oleh semua pihak.

Katanya, sikap tidak ambil kisah yang masih diamalkan oleh sesetengah pihak pemantau itu menyebabkan langkah dan peraturan yang diwujudkan menjadi sia-sia.

``Kita kadang-kadang mempunyai jentera pemantau yang lemah, tidak ambil kisah.

``Ada longkang tersumbat, tidak ada siapa hendak pedulikan. Bila berlaku banjir barulah nak sibuk longkang tersumbat dan sebagainya.

``Ini yang menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Jogaton Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 26 April lalu, ibu negara dilanda banjir kilat yang disifatkan sebagai terburuk sejak 1971, menyebabkan beberapa kawasan di tengah pusat bandar raya ditenggelami air.

Kejadian itu juga turut menyebabkan dua orang terkorban akibat litar pintas.

Menurut Abdullah, langkah pemantauan perlu dilakukan sepanjang masa dan bukannya dimulakan apabila berlaku sesuatu bencana alam.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya memerlukan kerja sama daripada semua pihak khususnya pemaju pembangunan bagi mengelak berlakunya banjir di ibu negara.

Katanya, pihak tersebut perlu mengelak daripada melakukan tindakan-tindakan yang boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat itu.

Mengenai langkah drastik menangani masalah banjir kilat yang diumumkan semalam, beliau berkata, langkah tersebut diambil setelah penelitian mendalam daripada semua pihak terlibat.

Katanya, langkah tersebut bukan merupakan langkah sementara dan dibuat secara tiba-tiba ekoran kejadian banjir kilat baru-baru ini.

``Ia adalah satu langkah jangka panjang hasil perbincangan berterusan pihak-pihak terlibat,'' katanya.

Oleh: HAMDEN RAMLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum