UMUM

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

63,000 anggota tentera tamat perkhidmatan menjelang 2006

KUALA LUMPUR 7 Mei - Malaysia akan kehilangan lebih 63,000 anggota tentera dalam tempoh lima tahun mulai tahun ini sekiranya langkah segera tidak diambil oleh kerajaan terutama dalam menaikkan gaji minimum dan meminda skim perkhidmatan sedia ada.

Berdasarkan skim perkhidmatan sedia ada, anggota tentera dibenarkan bersara awal setelah berkhidmat minimun selama 10 tahun dengan diberi bonus khas sehingga RM70,000 mengikut tempoh perkhidmatan dan pangkat masing-masing.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Senator Datuk Muhammad Ghani berkata, jumlah anggota tentera yang tamat perkhidmatan dalam tempoh lima tahun itu cukup tinggi tetapi kemasukan tentera baru adalah rendah.

Beliau menjangkakan, tidak lebih 15,000 anggota baru akan menyertai tentera dalam tempoh tersebut atau 3,000 orang setiap tahun berbanding lebih 63,000 yang bersara.

Menurut beliau, antara faktor yang menyebabkan ramai anggota tentera memilih bersara awal adalah kerana syarat perkhidmatan sedia ada kurang menjamin masa depan mereka.

``PBTM telah menghantar cadangan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta supaya pihak berwajib meminda semula syarat perkhidmatan sedia ada yang banyak kelemahannya.

``Syarat perkhidmatan ini, bukan setakat menyebabkan orang ramai kurang berminat menyertai tentera tetapi punca berlakunya peningkatan kadar pengangguran daripada kalangan tentera yang bersara awal di negara ini,'' katanya kepada Utusan.

Beliau menambah, kerajaan perlu memandang serius fenomena tersebut kerana jumlah yang meninggalkan perkhidmatan tentera dalam tempoh lima tahun akan datang mewakili 40 peratus daripada 120,000 anggotanya.

Menurut Muhammad, gaji anggota tentera di Malaysia juga agak rendah dan patut dinaikkan mengikut keadaan semasa agar dapat menarik lebih ramai generasi muda menyertai perkhidmatan ketenteraan.

Gaji minimum lebih RM400 sebulan yang diterima oleh anggota rekrut misalnya patut dinaikkan bagi menampung peningkatan kos hidup terutama di bandar-bandar besar.

Beliau berkata, walaupun pihaknya tidak mempunyai rekod mengenai jumlah bekas anggota tentera yang menganggur di negara ini tetapi PBTM menerima banyak aduan tentang kesulitan mereka yang sebahagiannya masih muda untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan.

Tambahnya, walaupun menerima bonus lumayan antara RM60,000 dan RM70,000 setiap seorang jika bersara awal, ia belum tentu menjamin masa depan bekas perajurit berkenaan.

``PTBM dimaklumkan bahawa kebanyakan mereka yang bersara pada usia muda antara 32 dan 42 tahun sukar mendapat pekerjaan yang sesuai.

``Keadaan ini menyebabkan ramai bekas anggota tentera mencuba nasib menceburi bidang perniagaan dengan bermodalkan wang bonus yang diperoleh tetapi mengalami kerugian besar kerana tidak cukup pengalaman atau ditipu oleh rakan kongsi,'' katanya.

Paling menyedihkan, katanya, terdapat bekas anggota tentera yang tidak bijak memanfaatkan wang bonus masing-masing dan menghabiskan wang itu dalam tempoh lima hingga enam bulan sahaja.

Sehubungan itu, PBTM menggesa kerajaan supaya meminda segera syarat perkhidmatan anggota tentera bagi mewajibkan mereka menamatkan pekerjaan sehingga lebih 21 tahun bagi membolehkan mereka menikmati skim berpencen.

``Meskipun mendapat kurang 30 peratus daripada jumlah bonus yang ditawarkan jika bersara awal tetapi mereka sekurang-kurangnya menerima wang pencen secara tetap setiap bulan.

``Wang pencen ini lebih menjamin masa depan kerana ia diterima setiap bulan, sekali gus meringankan beban mereka untuk menanggung persekolahan anak-anak dan perbelanjaan harian keluarga masing-masing,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum