UMUM

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Malaysia tidak iktiraf deklarasi kemerdekaan kumpulan pemisah

KUALA LUMPUR 7 Mei - Malaysia tidak akan mengiktiraf deklarasi kemerdekaan oleh mana-mana kumpulan pemisah di rantau ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata, pendirian itu yang turut melibatkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari, dibuat sebagai menghormati kedaulatan dan integriti wilayah yang menjadi milik sah sesebuah negara.

``Atas dasar itu kita tidak menyokong mana-mana deklarasi kemerdekaan yang diumumkan oleh kumpulan-kumpulan pemisah, di negara mana sekali pun di rantau ini,'' katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ibu anjuran Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Misuari yang juga Gabenor Wilayah Islam Mindanao, mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu sebagai `Republik Bangsamoro' dengan beliau sebagai `Presiden' pertama.

Pengumuman itu dibuat ketika Misuari merasmikan Kongres Kebangsaan Rakyat Bangsamoro keempat di kawasan pergunungan Zamboanga, 1,000 kilometer ke selatan Manila, minggu lalu.

Pada tahun 1996, Misuari telahpun membawa MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina.

Mengulas lanjut Syed Hamid berkata, Malaysia tidak akan mencampuri urusan berkenaan kerana ia merupakan masalah dalaman Filipina.

Sehubungan itu, beliau berharap, isu tersebut dapat diselesaikan menerusi rundingan demi kepentingan semua pihak.

Sementara itu beliau menafikan laporan agensi berita asing bahawa pemerintah Myanmar menghalang wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Tan Sri Razali Ismail daripada bertemu dengan pihak pemerintah dan pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi.

``Apa yang berlaku ialah kedua-dua pihak berada pada peringkat perbincangan dan tidak mahu menerima kedatangan wakil luar kerana ditakuti akan mempengaruhi proses rundingan.

``Buat masa ini, sekiranya hendak melakukan sesuatu kita perlu menunggu sehingga mereka dapat merumuskan sesuatu yang membolehkan kita mengambil bahagian,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Razali telah melakukan tugas dengan baik apabila berjaya membawa kedua-dua pihak bertelagah ke meja perundingan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum