UMUM

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Sistem kerahan tenaga mampu tingkat semangat patriotik remaja

BATU PAHAT 7 Mei - Sistem kerahan tenaga, jika dilaksanakan, akan dapat meningkatkan semangat patriotik remaja di samping mengukuhkan benteng pertahanan negara.

Sambil menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem kerahan tenaga ke atas rakyat bukan bumiputera, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, MCA sendiri akan menggalakkan belia Cina menyertai pasukan tersebut.

``Ini satu idea yang baik dalam usaha meningkatkan disiplin dan semangat patriotik setiap rakyat,'' katanya selepas merasmikan Bangunan MCA Sri Gading di sini, petang semalam.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kelmarin bahawa kerajaan mungkin memperkenalkan sistem kerahan tenaga ke atas rakyat bukan bumiputera sekiranya penglibatan mereka masih berkurangan pada masa depan.

Menurut beliau, negara wajar mempunyai pasukan kerahan tenaga sebagai langkah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau kecemasan.

``Rakyat yang mempunyai asas ketenteraan berupaya untuk membantu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,'' kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr. Ling berkata, kekurangan masyarakat Cina menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpunca daripada minat mendalam mereka dalam bidang perniagaan.

Selain itu, menurutnya, kegemaran masyarakat tersebut hidup berdikari daripada makan gaji dalam pelbagai sektor turut menjadi punca kurangnya mereka menyertai pasukan itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum