UMUM

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Wajibkan majikan sedia taska dikaji

KUALA LUMPUR 7 Mei - Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat akan mengkaji untuk mewajibkan para majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja mereka selain memperketatkan undang-undang sedia ada.

Menterinya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, buat masa sekarang belum ada peraturan mewajibkan kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah dijaga di taman asuhan kanak-kanak (taska) kendalian majikan.

``Mungkin selepas ini kita akan memperkenalkan peraturan mandatori itu kerana sekarang lesen hanya dikeluarkan kepada pengusaha taska yang menjaga lebih lapan orang kanak-kanak berusia di antara empat hingga enam tahun sahaja,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Kesihatan Komuniti anjuran Wanita MCA Bahagian Bukit Bintang, di sini hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, Naafizah Zulkifli dijumpai mati lemas di bilik air sebuah taska di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini, kelmarin.

Sambil menasihati ibu bapa berhati-hati ketika memilih pengasuh yang terlatih menjaga anak mereka, Zaharah memberi jaminan akan menyiasat kejadian malang tersebut sebelum dapat membuat sebarang ulasan lanjut berhubung insiden berkenaan.

``Saya belum lagi dapat laporan lengkap kejadian itu dan kena semak dahulu status taska tersebut, kemungkinan ia diusahakan sendiri oleh suri rumah sebagai kerjaya sambilan mereka tanpa mempunyai sebarang lesen mengendalikan taska,'' katanya.

Pada masa sekarang, pengendali taska hendaklah mematuhi beberapa kriteria ketat seperti pengasuh mestilah mesra kanak-kanak dan pernah mengikuti kursus asuhan kendalian Jabatan Kebajikan sebelum mendapatkan lesen berkenaan.

Zaharah menambah, pengendali juga haruslah memastikan taska selamat daripada benda-benda berbahaya dan beliau akan meninjau peraturan sedia ada bagi menggalakkan suri rumah mempunyai lesen sebagai prasyarat mengendalikan taska.

``Kementerian saya, besar kemungkinan akan membuat perubahan dasar yang lebih menyeluruh meliputi semua peringkat umur kanak-kanak serta mendapatkan pandangan semua pihak yang berkaitan dalam hal pengendalian taska ini,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum